‘Tiada seorang pun yang pandang saya’, Shaukat sokong idea TMJ bawa WWE-UFC ke SSI


  • Podium
  • Selasa, 14 Okt 2025

Shaukat (kiri) berkongsi bagaimana Tunku Ismail menjadi antara individu pertama yang mempercayai bakat dan perjuangannya ketika tiada siapa peduli.

 

 

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus menunjukkan komitmen luar biasa terhadap pembangunan sukan di negara ini dengan hasrat membawa kejohanan berprestij dunia seperti World Wrestling Entertainment (WWE) dan Ultimate Fighting Championship (UFC) ke Malaysia.

Hasrat tersebut dikongsi Tunku Ismail (TMJ) selepas beliau berpeluang menyaksikan sendiri aksi WWE Crown Jewel 2025 yang berlangsung di RAC Arena, Perth, Australia baru-baru ini.

Di sebalik berita besar itu, atlet gusti profesional negara, Ayez Shaukat Fonseka Farid juga tampil berkongsi pengalaman peribadi tentang bagaimana TMJ adalah antara individu pertama yang percaya dan menyokong perjuangannya ketika tiada pihak lain yang memberi perhatian.

BACA LAGI: Sejarah mungkin berulang di Paroi andainya Gergasi Merah tak buang 'penyakit lama'

BACA LAGI: FIFA tak persoal prosedur JPN tapi kelayakan 7 pemain warisan — Khairi

“Ramai yang tag dan sebut nama saya dalam hantaran Tunku Ismail mengenai WWE.

"Ramai yang tidak tahu bahawa TMJ pernah menjemput saya dan menonton pertunjukan APAC Wrestling serta merupakan satu-satunya individu yang percaya pada saya serta menyokong impian dan kerja keras saya ketika tiada seorang pun menteri, wakil kerajaan atau pemilik jenama tempatan yang memberi perhatian,” tulis Shaukat di Facebook.

Perkongsian itu dibuat selepas TMJ mengesahkan sedang berurusan dengan pihak WWE dan UFC untuk menjadikan Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor sebagai venue utama penganjuran acara sukan hiburan bertaraf dunia.

TMJ sebelum ini turut menghadiri WWE Elimination Chamber 2025 di Perth dan bertemu secara langsung dengan pengurusan tertinggi WWE seperti Triple H, sekali gus memperlihatkan kesungguhan baginda merealisasikan hasrat tersebut.

Shaukat juga mengimbas kembali saat TMJ memberi semangat ketika dia melalui fasa terburuk dalam hidupnya.

“Tuanku pernah memberikan kata-kata semangat dan sokongan ketika saya melalui detik paling sukar. Sebab itu, ketika saya muncul di televisyen Amerika Syarikat, saya memakai logo JDT di dada saya.

“Malah, dalam video pengenalan saya juga terpampang mahkota Johor dan Stadium Sultan Ibrahim,” ujarnya.

Menurutnya, tindakan itu dibuat atas kehendak sendiri sebagai tanda terima kasih kepada TMJ yang telah mempercayai dirinya walaupun ketika itu tiada siapa yang melakukannya.

“Tuanku tidak pernah meminta apa-apa. Saya lakukannya dengan ikhlas kerana amat berterima kasih dan terharu apabila Tuanku mempercayai insan biasa seperti saya,” jelas Shaukat.

Beliau menutup perkongsiannya dengan semangat tinggi bahawa perjuangannya masih panjang dan kerja keras akan diteruskan demi mengharumkan nama Malaysia.

“Kerja keras tidak akan berhenti. Kita lihat bagaimana masa depan nanti,” tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram