
SIASATAN kes pembunuhan dua beranak yang ditemui maut akibat ditetak di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah, Juru dekat Seberang Perai, Pulau Pinang pada Sabtu akan dijalankan secara menyeluruh oleh pihak polis.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, siasatan lanjut masih diteruskan memandangkan motif sebenar pembunuhan tersebut masih belum jelas.
“Motif kes ini masih belum jelas, namun siasatan menyeluruh akan dijalankan dari semua aspek untuk mencari punca sebenar pembunuhan ini,” katanya lapor Buletin TV3.
BACA LAGI: [VIDEO] Sejuk perut ibu mengandung, anak ‘hilang’ rupanya sibuk belajar ambil wuduk di bilik mandi
Beliau turut menambah bahawa segala bahan bukti yang diperoleh sepanjang siasatan akan digunakan bagi membantu menyelesaikan kes tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa polis menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kes itu di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian.
Dalam perkembangan terbaru, suami kepada mangsa yang berusia 57 tahun telah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada pembunuhan.
Menurut laporan, mayat Sariya Che Hin, 51, ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah tersebut, sementara mayat anaknya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, ditemui di tingkat atas dalam keadaan meniarap dan berlumuran darah.
Laporan bedah siasat mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah akibat tetakan di bahagian belakang leher dipercayai menggunakan pisau pemotong daging. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram