[VIDEO] Sambut kemenangan besar, CR7 ajar IShowSpeed ketuai ‘viking clap’


  • Podium
  • Ahad, 19 Okt 2025

Ronaldo (kanan) mengajar IShowSpeed cara mengetuai sorakan Viking clap bersama penyokong Al-Nassr.

BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo bukan sahaja mempamerkan kehebatannya di padang, malah turut menunjukkan bakat luar biasa sebagai ‘guru muzik’ apabila mengajar IShowSpeed cara mengetuai sorakan viking clap bersama penyokong Al-Nassr.

Momen manis itu berlaku selepas Al-Nassr membelasah Al-Fateh 5-1 dalam aksi Liga Pro Saudi, yang menyaksikan Ronaldo sekali lagi menjaringkan gol untuk terus mendekati sasaran 1,000 gol sepanjang kariernya.

Speed atau nama sebenarnya Darren Watkins Jr, seorang penstrim popular dari Amerika Syarikat yang memiliki lebih 45 juta pengikut di YouTube berada di stadium bersama penyokong Al-Nassr bagi menyaksikan aksi idolanya itu.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Confirm seminggu tak basuh tangan', budak pengiring aksi JDT-Penang tak henti tersengih dapat pegang glove Syihan

BACA LAGI: [VIDEO] Permainan mudah ajar anak erti sebenar pengorbanan ayah, apa kita dapat belum tentu dia ada semasa kecil

Selepas perlawanan tamat, Speed yang berusia 20 tahun cuba memimpin sorakan Viking clap sebagai ‘ketua dram’ kepada ribuan penyokong.

Namun, keadaan menjadi lucu apabila dia jelas tidak tahu cara sebenar melakukannya.

Menyedari situasi itu, Ronaldo yang berada di atas padang tampil memberikan tunjuk ajar dengan meniru rentak tepukan dan gerakan tangan untuk diikuti Speed.

Aksi spontan itu mengundang sorakan gemuruh penonton, sementara Speed dilihat bersemangat meniru gerakan idolanya.

Ronaldo yang turut dikenali sebagai CR7 itu kemudian melambaikan tangan kepada peminat, manakala Speed pula tersenyum lebar menikmati detik bersejarah itu.

Speed sememangnya terkenal sebagai peminat tegar Ronaldo kerana dia sebelum ini pernah tular apabila menangis ketika Portugal tersingkir daripada Euro 2024, malah pernah cedera ringan selepas memecahkan kaca semasa siaran langsung akibat terlalu kecewa.

Pada Jun 2023, impian Speed untuk bertemu idolanya akhirnya tercapai selepas Portugal menewaskan Bosnia dan Herzegovina.

Dalam pertemuan itu, Speed dilihat jatuh tersujud di kaki Ronaldo, sebelum mereka berdua menggayakan semula selebrasi ‘Siuu’ yang cukup sinonim dengan bintang berusia 40 tahun itu.

Meskipun ramai menyangka karier antarabangsa Ronaldo bakal berakhir, legenda Portugal itu membuktikan sebaliknya apabila masih cemerlang di bawah kendalian Roberto Martinez termasuk menjaringkan dua gol ketika menentang Hungary baru-baru ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram