Kongsi foto keluarga, Joao Figueiredo buktikan susur galur asal Johor


  • Podium
  • Ahad, 19 Okt 2025

Figueiredo memuat naik gambar dipercayai bersama neneknya yang berasal dari Johor di laman Insta Story pada Sabtu. — Instagram/JoaoFigueiredo

DALAM kemelut isu pemalsuan dokumen membabitkan pemain warisan Malaysia, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Joao Figueiredo mencuri perhatian selepas memuat naik foto keluarganya di media sosial.

Tindakannya jelas menimbulkan tanda tanya selepas dia antara tujuh pemain warisan yang digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 27 September lalu selepas siasatan mendapati terdapat ketidakselarasan dalam dokumen asal usul keturunan mereka.

Penggantungan selama 12 bulan itu menyebabkan pemain kelahiran Brazil berkenaan tidak dapat diturunkan bersama Harimau Malaya serta terlepas beberapa aksi penting bersama Harimau Selatan. 

BACA LAGI: Kini sebaris Mokhtar Dahari-Nizaruddin Yusof, rekod Joao Figueiredo lebih istimewa

BACA LAGI: Pernah bersama wonderkid Man United dan Arsenal, Joao Figuerdo mampu buat Harimau Malaya mengaum

Dalam laporan rasmi bertarikh 6 Oktober, FIFA mendedahkan datuk atau nenek kepada tujuh pemain terbabit dilahirkan di Brazil, Argentina, Belanda dan Sepanyol, sekali gus menolak dakwaan bahawa mereka mempunyai pertalian darah dengan Malaysia.

Menurut dokumen yang dikemukakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini memaklumkan nenek Figueiredo dilaporkan dilahirkan di Johor, namun semakan lanjut FIFA menunjukkan rekod kelahiran sebenar berbeza.

Oleh itu, hantaran terbaharu pemain berusia 29 tahun berkenaan di laman Insta Story seolah-olah menepis maklumat FIFA apabila Figueiredo memuat naik foto keluarganya bersama individu dipercayai neneknya. 

Terkini, FAM kini berada dalam proses mengemukakan rayuan rasmi terhadap keputusan yang dibuat oleh FIFA dengan keputusan muktamad dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.

Figueiredo sudah mencetak empat gol dalam tiga perlawanan bersama Harimau Malaya.

Sebelum ini, peguam sukan antarabangsa yang mewakili FAM, Serge Vittoz menjelaskan bahawa pihaknya menafikan dakwaan kewujudan dokumen yang menjadi pertikaian dalam kes berkenaan.

Menurutnya dokumen terbabit sebenarnya disediakan mengikut ketetapan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan perbezaan yang wujud hanyalah antara sijil kelahiran asal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa luar negara dengan versi yang telah disahkan oleh JPN.

"FAM dalam rayuan ini tidak menafikan kewujudan dokumen berkenaan. Ia mematuhi semua keperluan dokumentasi JPN, cuma tidak serupa sepenuhnya dengan sijil kelahiran asal daripada pihak berkuasa asing," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram