
IMPAK dibawa penyerang import Brazil, Chrigor Moraes kepada Selangor FC amat besar musim ini selepas mencatatkan 11 gol daripada 12 penampilan dalam semua pertandingan.
Dia yang mengisi peranan penyerang utama susulan kecederaan Willian Lira memanfaatkan peluang itu sepenuhnya dalam usaha membawa skuad Gergasi Merah kembali ke landasan.
Namun, kebergantungan besar terhadap bekas pemain Buriram United itu boleh membawa padah kepada kelab Lembah Klang tersebut sekiranya timbul masalah kecederaan dan penggantungan.
BACA LAGI: Selangor jangan ulang silap lalu hilang 3 ‘ubi muda’ berkualiti
Ketiadaan Chrigor boleh menyebabkan masalah besar dalam skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Bangku simpanan Selangor FC kebelakangan ini hanya menampilkan Omid Musawi sebagai penyerang gantian jika Chrigor perlu dikeluarkan lebih awal atas faktor kepenatan.
Jadi, untuk menyediakan lebih banyak pilihan di posisi itu, naib juara Liga Super 2024/25 itu perlu berani memanggil seorang lagi penyerang muda iaitu Abdul Rahman Daud yang kini beraksi buat pasukan simpanan.
Potensi penyerang tersebut sudah lama dihidu penyokong yang yakin bahawa dia suda bersedia untuk diserap ke dalam skuad senior setelah bermusim-musim beraksi buat Selangor FC II.
Malah, ketika diletakkan dalam skuad Piala MFL 2024/25, penyerang berusia 20 tahun itu mencatatkan sembilan gol buat pasukannya yang muncul naib juara pertandingan.
Kecemerlangan itu diteruskan musim ini selepas dia menjadi watak utama dalam Liga A1 Semi Pro buat skuad simpanan Gergasi Merah dengan lima gol sudah direkodkan.
Abdul Rahman sudah lama menunggu peluang untuk diserap ke dalam pasukan utama.
Catatan terbabit menceritakan bagaimana Abdul Rahman sudah semakin bersedia untuk menggegarkan saingan Liga Super jika diberi minit permainan oleh pengendali, Christopher Gamel.
Jurulatih dari Perancis itu juga sudah pasti memahami permainan penyerang berdarah kacukan Itali-Syria itu kerana sebelum diberi kepercayaan bersama pasukan utama, dia terlebih dahulu mengendalikan Selangor FC II.
Kerjasama pernah terbentuk dalam Liga A1 Semi Pro itu cukup untuk membuktikan bahawa kedua-duanya mampu berganding bahu sekali lagi walaupun tahap Liga Super adalah lebih tinggi.
Keputusan kini jelas di tangan pihak pengurusan yang perlu segera 'menaikkan pangkat' Abdul Rahman ke skuad utama demi memastikan bakatnya tidak dipersiakan.
Meskipun belum begitu terserlah, terdapat kemungkinan kelab dalam mahupun luar negara sudah menyedari potensi dimilikinya dan hanya menunggu pemergian pemain itu dari Selangor FC.
Tiba masanya Gamel memberi kepercayaan terhadap Abdul Rahman. — Facebook/Selangor FC
Dia juga sudah tentu yakin untuk mencuba suasana baharu kerana latar belakangnya yang dari negara asing membuatkannya lebih terbuka mencari landskap berbeza.
Lebih merisaukan lagi, kegagalan skuad Gergasi Merah untuk menilai bakat penyerang muda itu dikhuatiri akan memberi kesan jangka masa panjang sehingga kepercayaannya kian pudar.
Situasi itu bukannya tidak pernah disaksikan dalam pentas bola sepak tempatan apabila pemain berbakat akhirnya dilupakan selepas tidak diberikan peluang dalam pasukan utama.
Jadi, sekiranya Selangor FC tidak mahu menyaksikan hal itu berlaku, segeralah meletakkan Abdul Rahman dalam skuad Liga Super untuk sekurang-kurangnya menambah rasa barisan serangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram