
KEMENANGAN 1-0 dilakar Harimau Malaya ke atas Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Isnin memberi impak besar buat negara kerana ia akan melonjak kedudukan dalam ranking FIFA.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan Joao Figueiredo seawal minit ketiga permainan selepas penyerang warisan itu menampan masuk hantaran rendah Quentin Cheng.
Asakan demi asakan daripada kedua-dua pasukan kemudiannya gagal menambah jumlah jaringan permainan dengan kedudukan 1-0 berpihak kepada Harimau Malaya kekal hingga wisel penamat ditiupkan.
BACA LAGI: Syihan Hazmi diangkat MOTM berdepan Palestin, ada yang rasa bek Selangor lebih layak
Mokhtar Dahari menjadi pemain negara pertama meledak tiga gol dalam tiga penampilan berturut-turut.
Meskipun hanya kemenangan kecil, perlawanan itu sememangnya bermakna buat Joao Figueiredo sendiri kerana jaringan berkenaan meletakkannya dalam lembaran sejarah bola sepak negara.
Dalam satu ciapan di laman X Harimau MY Stats, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) tersebut meletakkan dirinya di samping Nizaruddin Yusof dan Allahyarham Mokhtar Dahari dalam senarai penjaring prolifik negara.
"Joao Figueredo menjadi pemain ketiga Harimau Malaya menjaringkan gol berturut-turut dari penampilan pertama hingga kaps ketiga. Rekod ini kali terakhir dilakukan Nizaruddin Yusof pada 1999-2000. Mokhtar Dahari pemain pertama mencatat rekod ini pada 1972," tulisnya.
Penyerang warisan negara itu kali pertama meledak semasa menundukkan Vietnam sebelum meneruskan rentak cemerlang semasa menerima kunjungan Singapura pada Khamis lalu.
Ketajaman Nizaruddin di pentas antarabangsa pernah dikagumi satu ketika dahulu.
Bagaimanapun, sumbangan Figueiredo boleh dikatakan lebih manis buat skuad kebangsaan kerana ketiga-tiga perlawanan itu berakhir dengan kemenangan.
Rekod tersebut adalah sedikit berbeza berbanding Nizaruddin yang hanya menikmati dua kemenangan daripada tiga aksi pertamanya, iaitu semasa berdepan Singapura dan Maldives sementara satu lagi perlawanan bertemu Singapura berakhir dengan kekalahan.
Sumbangan Mokhtar Dahari juga tidak dapat membantu Harimau Malaya menikmati tiga kemenangan berturut-turut daripada jaringannya selepas salah satu aksi, iaitu semasa berdepan Burma (Myanmar) berakhir dengan keputusan seri.
Ini sekali gus membuktikan impak dibawa Joao Figueiredo adalah lebih besar dengan prestasi itu diharapkan mampu diteruskan bagi aksi-aksi akan datang buat negara.
Malah, tidak keterlaluan menyifatkan sumbangan bekas penyerang Istanbul Basaksehir itu lebih istimewa ekoran ketiga-tiga gol itu dihasilkan tanpa dia perlu beraksi penuh dalam 90 minit setiap perlawanan, sekali gus membuktikan kualiti penyudahnya jauh lebih baik berbanding rakan sepasukan lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram