
KELAB Negeri Sembilan FC (NSFC) musim ini antara pasukan yang menjadi tumpuan lagi-lagi selepas mereka berhasil membolosi gawang Johor Darul Ta'zim (JDT) sebanyak tiga kali ketika tewas 3-5 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 12 Ogos lepas.
Dengan status Harimau Selatan sebagai juara bertahan Liga Super 11 kali berturut-turut, ramai tidak menyangka skuad Jang boleh memberi tentangan luar biasa dalam perlawanan berkenaan.
Seperti selalu dikatakan bola itu bulat dan pelbagai perkara boleh berlaku dalam sukan berkenaan, Negeri Sembilan begitupun tewas mengejut 1-2 kepada Penang FC dalam perlawanan keenam Liga Super di Stadium Bandaraya, George Town pada 4 Oktober.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Hooligan' Negeri Sembilan bikin kecoh, lancar provokasi lepas kalah kepada Penang
BACA LAGI: Sejarah mungkin berulang di Paroi andainya Gergasi Merah tak buang 'penyakit lama'
Keputusan itu menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus memohon maaf kepada penyokong pasukan itu susulan persembahan tidak konsisten dalam aksi Liga Super.
Faliq yang menyedari banyak kepincangan dalam pasukannya tersebut tampil dengan jalan penyelesaian bahawa akan melakukan sesuatu pada jendela perpindahan kedua nanti.
Walaupun tiada maklumat lanjut mengenai aktiviti perpindahan yang dimaksudkannya, namun penyokong berpandangan pengurusan Negeri Sembilan pasti akan membawa masuk beberapa wajah baharu.
Menghitung hari jendela perpindahan kedua yang akan berlangsung pada 5 Januari hingga 1 Februari 2026 nanti, Majoriti menyenaraikan tiga pemain wajar berada dalam pantauan NSFC.
1) Anuar Ceesay
Pemain muda yang kian menyinar, Anuar Ceesay boleh berada dalam pantauan Negeri Sembilan apabila aksi tonggak tengah itu bersinar bersama kelab Liga A1 Semi Pro, UM Damansara United.
Anuar yang memiliki darah campuran Malaysia-Inggeris berasal dari Wales dan dibesarkan di London itu menjadi tonggak penting UM Damansara dengan tampil dalam enam perlawanan mereka.
Selain menyerlah di peringkat Liga A1, pemain berusia 22 tahun berkenaan mencuri tumpuan ketika menentang JDT apabila meledak gol pada minit ke-66 dan m-74 walaupun kelabnya tewas 3-5.
Anuar kini tersenarai sebaris dengan pemain sayap Negeri Sembilan, Jovan Motika yang turut mencatat dua gol ketika menentang JDT dalam aksi Liga Super pada 12 Ogos lalu di gelanggang keramat skuad Harimau Selatan.
Dengan Anuar kini yang sudah mempunyai tawaran dari beberapa pasukan, Negeri Sembilan nampaknya perlu bertindak pantas untuk menandatangani pemain berkenaan bagi memperkukuh bahagian tengah.
2) Pape Diakite
Diakite menjadi tonggak penting bahagian pertahanan Kedah FA. — Facebook/KedahFA
Selepas dua tahun meninggalkan Liga Malaysia (Liga M), Pape Diakite mengejutkan penyokong untuk kembali mewarnai saingan domestik apabila melengkapkan kuota import Kedah FA bagi saingan Liga A1 Semi Pro.
Diakite antara bek kesayangan skuad Sang Penyu dengan dia tampil dalam 19 aksi Liga Super 2022, yang membantu skuad Penyu muncul naib juara liga, layak ke final Piala FA dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia.
Walaupun sudah berusia 32 tahun, pemain kelahiran Senegal berkenaan masih menjadi pilihan utama di bahagian pertahanan Kedah dengan dia tampil kesemua perlawanan Sang Kenari, selain turut dijadikan ketua pasukan.
Negeri Sembilan yang kini hanya mengharapkan Luis Enrique sebagai bek import dan masalah konsistensi Khuzaimi Piee, Diakite wajar berada dalam senarai pantauan mereka sebagai solusi singkat pada musim ini.
Keupayaannya membaca permainan serta melakukan hadangan tepat pada masa memberi nilai tambah kepada skuad Jang yang memerlukan kestabilan di barisan belakang.
3) Daryl Sham
Daryl antara penyerang penting JDT II. — Facebook/JDTII
Pemain kacukan Malaysia-Filipina, Daryl Sham juga antara tonggak utama yang mampu beraksi sebagai pemain tengah dan penyerang untuk pasukan kendalian Nidzam Jamil pada pusingan kedua nanti.
Keberkesanan skuad Jang di bahagian depan musim ini masih belum benar-benar mencapai tahap yang diharapkan, dengan beberapa perlawanan menunjukkan kesukaran mereka menamatkan peluang di depan gawang.
Dalam konteks itu, kehadiran Daryl mampu memberikan nafas baharu kepada barisan serangan khususnya dengan gaya permainan menarik dan naluri penyudah semula jadinya.
Selain itu, Daryl juga boleh menjadi aset jangka panjang, bukan hanya untuk baki musim ini, tetapi sebagai pelaburan masa depan bagi skuad Jang yang sedang berusaha membina identiti baharu di bawah struktur lebih tersusun.
Sekiranya tidak dapat menandatangani Daryl sebagai pemain tetap, Negeri Sembilan boleh merekrut pemain berusia 22 tahun itu dengan status pinjaman daripada Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram