Hampir 2 tahun tak cetak gol, kehilangan 7 rakan sepasukan tak gugat kebangkitan Faisal Halim


  • Podium
  • Khamis, 16 Okt 2025

Faisal menyumbang satu gol dalam kemenangan 5-1 skuad negara ke atas Laos pada Selasa. — Facebook/MalaysiaNT

TRAGEDI simbahan asid yang hampir meragut kariernya, sehinggalah kemelut yang melanda skuad kebangsaan, Faisal Halim tetap muncul sebagai nadi kebangkitan skuad Harimau Malaya.

Menjadi mangsa simbahan asid pada Mei tahun lalu bukan alasan untuk pemain sayap lincah berkenaan mengangkat bendera putih apabila pemain sayap Gergasi Merah itu masih tajam di hadapan gawang. 

Insiden di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya itu meninggalkan kesan parut fizikal dan emosi yang mendalam apabila Faisal mengalami lecur tahap empat pada beberapa bahagian badan dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama lebih 10 hari.

BACA LAGI: 'Kami kawal apa yang boleh', Faisal Halim enggan kontroversi pemain warisan ganggu Harimau Malaya

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Chemistry’ tak pudar, Jordan Mintah-Faisal Halim kongsi senyuman menjelang aksi di Laos

Siapa sangka setahun selepas tragedi tersebut, Faisal bukan sahaja kembali beraksi, malah tampil dengan prestasi mengagumkan yang membuktikan bahawa semangatnya lebih kuat daripada luka ditinggalkan. 

Dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil, Faisal atau lebih mesra disapa Mickey menjadi antara watak penting kebangkitan Malaysia apabila menyumbang satu gol dalam kemenangan 5-1 skuad negara.

Gol itu hadir menerusi sepakan percuma menarik, menyamakan kedudukan selepas Harimau Malaya ketinggalan 0-1 sebelum separuh masa pertama, sekali gus mencetuskan momentum kebangkitan luar biasa pasukan kendalian Peter Cklamovski. 

Kejadian malang menimpa pemain Selangor FC itu apabila tular gambar keadaan badannya yang luka teruk ekoran disimbah asid.

Ia juga merupakan gol kedua pemain berusia 27 tahun itu dalam kempen kelayakan kali ini, selepas turut meledak ketika kemenangan 3-0 menentang Laos di Vientiane pada minggu lalu.

Dua gol berturut-turut dalam pusingan kelayakan itu menandakan kembalinya sentuhan berbisa pemain sayap itu selepas hampir dua tahun tidak menjaringkan gol buat skuad kebangsaan.

Lebih bermakna, perlawanan di gelanggang Malaysia itu menjadi aksi pertama Faisal dalam kesebelasan utama Harimau Malaya selepas tragedi yang hampir memadamkan sinar kariernya.

Bukan itu sahaja, kebangkitan Faisal juga hadir di tengah-tengah ribut kontroversi pemain warisan yang sedikit sebanyak menjejaskan fokus dan moral pasukan kebangsaan.

Kemelut pendaftaran tujuh pemain warisan susulan pertikaian dokumen antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong.

Tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Palermo, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel serta bintang Depertivo Alaves iaitu Facundo Garces. 

Tujuh pemain terbabit yang dijangka menjadi tonggak utama skuad negara dalam kempen kelayakan terpaksa diketepikan, sekali gus memaksa Cklamovski melakukan rombakan besar saat akhir terhadap perancangan taktikal.

Masih belum ada sebarang jawapan jelas mengenai skandal tujuh pemain warisan.

Keadaan itu tidak menganggunya apabila Faisal membawa semangat juang dan tidak mudah terpengaruh dengan tekanan luar padang, sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada perjuangan di padang.

Prestasi Faisal bukan sekadar kisah peribadi tentang kebangkitan selepas tragedi, tetapi cerminan kepada daya juang Harimau Malaya yang sedang mencari semula identiti dan maruahnya di pentas Asia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram