
SETELAH bertahun-tahun menunggu, hasrat Jordan Mintah untuk menyarung jersi Harimau Malaya akhirnya tercapai selepas dipanggil ke kem latihan Peter Cklamovski.
Penyerang Kuching City FC itu dijangka terlibat dalam dua aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di laman sendiri pada Khamis sebelum sekali lagi bertemu pada Selasa depan.
Kehadirannya merupakan satu tonik tambahan buat Harimau Malaya yang sedikit tempang tanpa kelibat dua penyerang warisan, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado akibat penggantungan FIFA.
BACA LAGI: Jordan Mintah, Ramadhan antara nama baru ganti hilangnya 7 pemain warisan
BACA LAGI: Manisnya hadiah sempena Hari Kebangsaan, Jordan Mintah kini sah jadi pemain naturalisasi
Meskipun tidaklah begitu prolifik, tonggak skuad The Cats itu pasti mempunyai persefahaman baik dengan pemain lain dalam pasukan negara, terutamanya Faisal Halim.
Kapten Selangor FC itu turut berada dalam senarai yang dipanggil untuk kedua-dua perlawanan tersebut selepas kembali ke tahap terbaik di peringkat kelab.
Ini merupakan kali pertama kedua-dua pemain serangan tersebut kembali ke dalam pasukan selepas kali terakhir beraksi di samping satu sama lain dalam skuad Sang Penyu pada 2021.
Keakraban kedua-dua pemain itu turut diakui penyokong menerusi akaun Facebook BiKem Studio yang menjelaskan karakter masing-masing saling melengkapi.
"Sewaktu di Terengganu FC, boleh katakan hubungan Faisal Halim dan Jordan Mintah agak rapat. Mintah terkenal dengan perangai lucu manakala Mickey (Faisal) pula seorang yang peramah dan suka bergurau. Jadi kepala dua orang ni memang ngam lah.
"Masing-masing membawa haluan tersendiri selepas meninggalkan Terengganu FC. Kini, mereka bakal bersatu semula di Harimau Malaya. Semoga 'chemistry' yang pernah terbina sebelum ini dapat diteruskan bersama skuad kebangsaan," tulisnya.
Untuk rekod, ketika kedua-dua pemain itu masih di Pantai Timur, mereka hanya sempat berkongsi padang sebanyak enam kali dengan Faisal pernah mencipta jaringan rakan sepasukannya ketika berdepan Sabah FC.
Malah, dalam sebuah video dikongsikan Zulhelmi Zainal Azam, Jordan dan Faisal sempat bermesra untuk perlawanan akan datang ketika masing-masing tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ini merupakan satu petanda baik bahawa skuad kebangsaan cukup bersemangat untuk perlawanan akan datang meskipun pelbagai isu luar padang menimpa pasukan.
Sekiranya meraih enam mata penuh daripada kedua-dua aksi terbabit, Harimau Malaya semakin berpeluang untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2027.
Tetapi, sebarang mata dicicirkan tidaklah memberi kesan terlalu besar memandangkan skuad bimbingan Cklamovksi kini berada di tangga teratas Kumpulan F selepas dua perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram