
KEMELUT pendaftaran tujuh pemain warisan antara Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak menganggu persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi Laos pada Selasa.
Selepas merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Laos pada aksi pertama Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Vientiane pada Khamis lepas, Malaysia perlu mendapatkan lagi tiga mata dalam perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Malaysia yang diletakkan bersama Vietnam, Laos dan Nepal dalam Kumpulan F itu menyaksikan skuad kebangsaan kini menghuni kedudukan teratas dengan sembilan mata meninggalkan tiga pasukan lain.
BACA LAGI: Lupakan gangguan luar, Rajagobal tuntut keputusan positif lawan Laos
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Chemistry’ tak pudar, Jordan Mintah-Faisal Halim kongsi senyuman menjelang aksi di Laos
Bagaimanapun, aksi menentang skuad kendalian Ha Hyeokjun itu tidak boleh dipandang enteng oleh Peter Cklamovski berikutan pasukan dianggap kerdil seperti Loas juga boleh memberikan kejutan.
Seperti tragedi memalukan yang pernah berlaku pada 28 tahun lepas apabila skuad kebangsaan yang dikendalikan oleh Wan Jamak Wan Hassan tewas mengejut 0-1 kepada Laos pada saingan Sukan SEA di Jakarta, Indonesia.
Malaysia ketika itu menampilkan barisan pemain berprofil tinggi seperti Khairul Azman Mohamed, Azmin Azram Abdul Aziz, K. Sanbagamaran, Idris Karim, Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan dan Azmi Mohamed.
Dengan reputasi sebagai finalis Piala AFF (ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger), harapan tinggi disandarkan kepada skuad negara untuk menamatkan kemarau lapan tahun pingat emas Sukan SEA yang kali terakhir dimenangi pada 1989 di Kuala Lumpur.
Skuad kebangsaan ketika menentang Laos pada 28 tahun lepas.
Permulaan kempen Sukan SEA 1997 di Jakarta tampak meyakinkan apabila Malaysia mencatat dua kemenangan awal menewaskan Vietnam dan Filipina, namun momentum itu terhenti selepas kekalahan besar 0-4 kepada Indonesia.
Walaupun tewas kepada tuan rumah, peluang Malaysia ke separuh akhir masih terbuka luas kerana hanya perlu menewaskan Laos, pasukan yang ketika itu dianggap ‘underdog’.
Namun, pada 14 Oktober 1997 menyaksikan segalanya berubah menjadi tragedi hitam apabila Malaysia tewas mengejut 0-1 hasil jaringan jarak jauh pemain Laos, Keolakhone Channiphone.
Kekalahan memalukan itu mencetuskan kemarahan penyokong tanah air yang kecewa dengan aksi longlai skuad kebangsaan, hingga kepulangan pasukan disambut dengan kecaman hebat di lapangan terbang.
Harimau Malaya berlatih menjelang aksi menentang Laos. — Facebook/MalaysiaNT
Akibat tekanan dan kekecewaan besar itu, Wan Jamak meletakkan jawatan sebagai jurulatih dan FAM pula mengambil langkah drastik dengan membubar serta menggantung skuad kebangsaaan daripada menyertai sebarang kejohanan buat sementara waktu.
Bagaimanapun, menjelang pertemuan baharu menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa, sejarah hitam 28 tahun lalu wajar dijadikan pengajaran buat skuad kendalian Cklamovski.
Walaupun Laos kini bukan lagi pasukan yang digeruni, Harimau Malaya tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan yang semakin menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.
Dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku apatah lagi apabila melibatkan pasukan yang pernah mencipta kejutan besar terhadap Malaysia satu ketika dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram