
BEKAS pengendali skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K Rajagobal berharap Harimau Malaya dapat mengekalkan fokus dan tidak terjejas dengan gangguan luar.
Malaysia akan berdepan Laos dalam aksi kelayakan pusingan ketiga Piala Asia 2027 pada Khamis di Stadium Nasional Laos, Vientiane pada Khamis sebelum aksi timbal balik pada 14 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Di sebalik isu penggantungan pemain dan denda antara Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Rajagobal yang enggan mengulas panjang mengenai perkara itu berkata, skuad negara ketika ini memerlukan sokongan padu.
BACA LAGI: Skandal bintang warisan beri kesan ekosistem bola sepak negara, FAM harus bertanggungjawab — PBMM
BACA LAGI: Hadirnya pemain naturalisasi tak gugat motivasi bakat tempatan, bola sepak Malaysia masih ada sinar
"Kita hanya mahukan keputusan positif daripada dua perlawanan menentang Laos ini. Pemain perlu fokus kepada apa yang di depan mata dan jangan biarkan isu di luar padang menjejaskan mereka," katanya.
Rajagobal yang membimbing skuad negara dari 2009 hingga 2013, menegaskan Malaysia yang kini berada di ranking ke-123 dunia tidak boleh memandang rendah Laos yang menghuni tangga ke-185.
"Pertama sekali, kita perlu menghormati mana-mana pasukan yang kita lawan.
"Laos mungkin berada di ranking lebih rendah, tetapi dalam bola sepak, rasa hormat itu penting. Berdasarkan momentum antarabangsa yang kita miliki ketika ini, saya yakin Malaysia mempunyai kekuatan untuk meraih keputusan positif.
"Saya pasti barisan kejurulatihan juga akan memanfaatkan sepenuhnya pemain yang mereka ada untuk perlawanan menentang Laos," kata jurulatih berusia 69 tahun berkenaan.
Mengulas kemasukan beberapa muka baharu seperti dua penyerang Kuching City FC iaitu Ramadhan Saifullah dan Jordan Mintah, Rajagobal berkata, ketua jurulatih pasti sudah menilai prestasi kedua-dua pemain itu sebelum membuat pemilihan.
"Barisan kejurulatihan pastinya telah menilai pemain yang dipanggil, termasuk Ramadhan yang berpeluang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan," katanya.
Rajagobal menambah, skuad Laos kini menunjukkan peningkatan berbanding ketika beliau menjadi jurulatih dahulu.
Pasukan Laos yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Ha Hyeok-jun serta diketuai penyerang berbisa Bounphachan Bounkong, turut diperkuat beberapa pemain kacukan baharu seperti pertahanan, Victor Ngovinassack; pemain tengah, Roman Angot dan Theo Klein.
Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal.
"Berbanding zaman saya dahulu, saya pasti Laos sudah banyak berubah. Saya pernah menonton mereka beraksi dalam kejohanan AFF dan mereka kini mempunyai pemain baharu termasuk pemain kacukan. Jadi jelas ada peningkatan.
"Tapi saya percaya Malaysia memiliki kelebihan dari segi pengalaman dan kedalaman skuad untuk meraih keputusan positif," ujar Datuk K Rajagobal. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram