
NAMA bekas penyerang England, Peter Crouch sekali lagi menjadi bahan jenaka di media sosial selepas satu video tular memaparkan empat individu mengangkat sebatang lampu limpah stadium (floodlight) sehingga disalah anggap sebagai ‘mayat’ pemain itu.
Video berdurasi pendek berkenaan disertai kapsyen 'RIP Peter Crouch 1981–2025' hingga menyebabkan ramai warganet membanjiri ruangan komen dengan pelbagai reaksi lucu.
Rata-rata penyokong bola sepak global bergurau bahawa objek panjang yang diusung itu menyerupai bentuk tubuh Crouch yang terkenal dengan ketinggian luar biasa 2.01 meter.
BACA LAGI: Bukan salah Sesko, Rooney anggap peluang terhad punca The Red Devils bergelut derby Manchester
BACA LAGI: Disebut ke kelab Manchester, Liverpool sedia 'sailang' minit akhir bintang Bayer Leverkusen
Klip berkenaan bukanlah kali pertama mencuri perhatian susulan ia sering muncul semula setiap beberapa bulan dengan versi atau muat naik berbeza, menjadikan gurauan itu seolah-olah tiada penghujung.
Lebih melucukan apabila video berkenaan turut sampai ke pengetahuan bekas tonggak Liverpool itu sendiri yang tampil memberi respons melalui hantaran di platform X miliknya.
"Video ini akan jadi tular setiap beberapa bulan dan saya terpaksa beritahu keluarga bahawa itu hanyalah lampu limpah. Boleh tak hentikan perkara ini?" katanya pada hantaran itu.
Kenyataan itu memperlihatkan bekas bintang Tottenham Hotspur dan pasukan kebangsaan England tersebut seolah-olah sudah lali, malah sedikit muak dengan jenaka yang sering mengaitkan dirinya.
Warganet bagaimanapun terus membanjiri hantaran dari pemain itu dengan gurauan, malah ada yang memuji Crouch kerana kekal tabah menghadapi usikan tersebut.
Bekas penyerang tinggi lampai itu kini aktif sebagai pundit dan personaliti media dengan Crouch sering muncul dalam rancangan sukan serta podcast popular di United Kingdom. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram