Karipap atau empanada? Nenek Imanol disebut asal Malaysia sebab pandai buat kuih tempatan


  • Podium
  • Ahad, 12 Okt 2025

Ibu Machuca (kiri) bersama kuih dihasilkan yang seakan-akan karipap dengan foto itu menguatkan pertalian darahnya dengan Malaysia.

SEHINGGA hari ini, nasib ketujuh-tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung 12 bulan akibat hukuman FIFA masih kekal meskipun pelbagai ura-ura mula timbul di media sosial.

Ini kerana rata-rata peminat skuad kebangsaan masih optimis bahawa hukuman tersebut akan ditarik semula memandangkan kerakyatan semua yang terlibat sudah disahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Malah, salah seorang pemain yang digantung iaitu Imanol Machuca turut kelihatan yakin bahawa dia mampu segera kembali ke atas padang seperti mana ditekankan jurulatih Velez Sarsfield, Guillermo Barros Schelotto.

BACA LAGI: Bintang warisan optimis terlepas penggantungan FIFA, kembali beraksi bersama kelab

BACA LAGI: FAM jangan berdiam diri, setiap kesilapan pasti ada hukuman — Safee Sali

Ibu Machuca (kiri) bersama neneknya yang dikatakan berasal dari Pulau Pinang.

Pengendali kelab penyerang sayap berkenaan menekankan anak buahnya itu berfikiran positif sepanjang mengalami hukuman itu, sekali gus menanam keyakinan dalam kalangan penyokong berhubung penggantungannya.

Tidak cukup dengan itu, ramai mula berpandangan bahawa Machuca mempunyai pertalian darah Malaysia selepas baru-baru ini tular sekeping foto ibunya sedang menyediakan kuih yang kelihatan seakan-akan karipap.

Kuih terbabit amat sinonim dengan tradisi tempatan, sekali gus menguatkan kepercayaan bahawa pemain tersebut tidak melanggar sebarang undang-undang berhubung latar belakangnya.

Bagaimanapun, ramai mungkin kurang jelas bahawa di Amerika Selatan, terdapat kuih yang kelihatan seperti karipap iaitu empanada yang hanya dibezakan dari segi inti.

Sekiranya karipap sinonim dengan inti ayam dan daging, empanada yang bermaksud 'disalut roti' dalam bahasa Amerika Latin mempunyai pelbagai jenis inti seperti jagung dan kentang.

Empanada merupakan kuih yang kelihatan seakan-akan karipap dan terkenal di Amerika Selatan. Agensi

Jadi, tidak mustahil sekiranya ibu Machuca sedang menyediakan kuih terbabit dan bukanlah karipap seperti mana disangkakan peminat bola sepak tempatan.

Pemain sayap tersebut sebelum ini dikatakan layak mewakili Harimau Malaya kerana neneknya, Concepcion Agueda Alaniz berasal dari Pulau Pinang.

Namun, semakan dari FIFA mendapati dokumen diserahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) adalah palsu kerana individu itu didapati lahir di Roldan, Argentina.

Pendedahan terbabit kemudian menyaksikan organisasi antarabangsa itu mengenakan hukuman denda CHF2,000 atau kira-kira RM11,000 serta penggantungan 12 bulan ke atas Machuca serta enam pemain warisan lain.

FAM yang turut didenda CHF350,000 (RM1.8 juta) kini dilaporkan bersedia membuat rayuan ke atas kes berkenaan dengan Konfiderasi Bola Sepak Asia (AFC) turut menunggu laporan penuh berhubung isu berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram