
BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya tidak berdiam diri dalam menangani pendedahan yang dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menerusi satu hantaran di Instagram Story pada Selasa, pemain berusia 41 tahun yang pernah menjulang Piala AFF Suzuki 2010 itu menegaskan bahawa dia berdiri teguh di belakang skuad Harimau Malaya pada waktu sukar ini.
BACA LAGI: Skandal pemain warisan: FAM anggap dakwaan FIFA tak berasas
BACA LAGI: Penyokong terluka, FAM tak boleh diam — Hannah Yeoh
"FAM perlu buat kerja untuk mengemukakan rayuan dan mengikuti langkah seterusnya dalam proses itu. Jangan berdiam diri. Tumpu pada mencari penyelesaian, bukan hanya masalah yang dihadapi.
"Setiap kesilapan ada akibatnya, tetapi yang paling penting sekarang ialah bagaimana kita semua memberi sokongan untuk membantu pasukan bangkit semula," katanya menerusi Instagram.
Safee turut menyeru penyokong bola sepak tempatan agar terus bersatu dan tidak terpengaruh dengan komen atau provokasi yang boleh menjatuhkan imej negara.
"Harimau Malaya akan sentiasa menjadi kebanggaan kita," tambahnya.
Tangkap layar Insta Story Safee.
Pada Isnin, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mendapati FAM telah mengemukakan dokumen palsu ketika mendaftarkan tujuh pemain warisan.
Siasatan FIFA menemui perbezaan ketara antara sijil kelahiran asal yang diperoleh pihak FIFA dengan sijil yang dihantar oleh FAM bagi menyokong kelayakan pemain-pemain tersebut untuk mewakili Malaysia.
Tujuh pemain yang terlibat ialah Hector Hevel, Jon Irazabal, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, dan Joao Figueiredo.
FIFA mendapati FAM dan para pemain terbabit bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA, yang berkaitan dengan pemalsuan dan penggunaan dokumen palsu dalam urusan rasmi.
Akibat pelanggaran itu, FAM dikenakan denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM11,000) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak. — The Star/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram