Skandal bintang warisan beri kesan ekosistem bola sepak negara, FAM harus bertanggungjawab — PBMM


  • Podium
  • Ahad, 05 Okt 2025

FIFA mengenakan denda terhadap FAM serta menggantung tujuh pemain warisan negara. — Facebook/MalaysiaNT

KEPUTUSAN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan denda terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta menggantung tujuh pemain warisan negara dijangka memberi kesan berantai terhadap keseluruhan ekosistem bola sepak tanah air.

Menurut bekas Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed, sebarang langkah tindak balas daripada FAM berkaitan hukuman dikenakan perlu diteliti sedalam-dalamnya bagi mengelak situasi jadi lebih buruk hingga memberi impak negatif kepada bola sepak di negara ini.

Firdaus yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) berkata, beliau percaya badan induk itu sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik, kerana apa juga kesannya akan memberi impak secara berantai kepada kelab dan ahli gabungannya.

BACA LAGI: Jordan Mintah, Ramadhan antara nama baru ganti hilangnya 7 pemain warisan

BACA LAGI: Ada hampir 40 pemain, Bergson tidak risau situasi 3 pemain warisan ganggu momentum JDT

“Saya yakin barisan di FAM itu tengah berusaha untuk memastikan tiada lagi tambahan hukuman yang akan dikenakan oleh FIFA.

“Itu harapan kita sebagai ahli gabungan sebab apabila berlaku hukuman, di peringkat persatuan negeri dan ahli gabungan pun terkesan," katanya ketika ditemui pada perlawanan Piala Agong 2025 antara Selangor dan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Dalam aksi itu, Selangor berjaya mempertahankan Piala Agong buat kali ketiga berturut-turut selepas menang menerusi penentuan penalti 4-3 ke atas Kuala Lumpur yang menyaksikan kedudukan terikat 1-1 dalam 120 minit masa permainan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Penaung PBMM Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam sambil diiringi Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi; Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Syed Yazid Syed Omar; Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed dan barisan Exco PBMM.

Pasukan Selangor muncul juara Piala Agong 2025. — Facebook

"Benda ini serius dan saya harap FAM mengambil iktibar dengan apa yang berlaku pada hari ini. Mungkin ini menjadi pengajaran kepada mereka supaya benda ini kita kena teliti, kena perhalusi betul-betul.

"Saya tidak pasti peranan Malaysia NT (pengurusan pasukan kebangsaan) dan peranan FAM sebab saya tidak terlibat. Pada saya sama ada Malaysia NT atau tidak, akhirnya FAM harus dipertanggungjawabkan sebagai badan induk," katanya.

Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed. — Facebook

Sebelum ini, FAM didenda oleh FIFA manakala tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan sama malah turut digantung daripada aktiviti bola sepak selama setahun. 

Firdaus menjelaskan usaha yang diwujudkan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail adalah perkara baik tetapi apabila wujudnya dakwaan kesilapan teknikal, FAM kena bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

"TMJ sudah beri segalanya, jadi pada saya kita kena cari satu penyelesaian supaya bola sepak kita tidak dipandang enteng oleh mana-mana negara terutamanya FIFA. Kita tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi pada akhirnya FAM kena bertanggungjawab," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram