
KEJAYAAN sesebuah kelab sukan bukan sahaja hasil usaha pemain dan jurulatih, tetapi juga pengorbanan penyokong setia yang sanggup berkorban wang dan tenaga demi menyemarakkan semangat pasukan.
Bagi seorang penyokong tegar Kuching City FC, Ahet Jenis, apa saja sanggup dilakukan demi pasukan kesayangannya, The Cats, lapor MFL.
Demi menyaksikan sendiri Derby Borneo antara Kuching City menentang Sabah FC di Stadium Likas, Sabah pada Sabtu minggu lalu, Ahet yang berusia 66 tahun sanggup memulakan perjalanan panjang dari Kuching ke Kota Kinabalu yang mengambil masa hampir 20 jam.
BACA LAGI: Kehilangan Iker Undabarrena akhirnya terjawab, anggap alami musim ‘menakjubkan’ bersama JDT
BACA LAGI: Imej Malaysia sudah tercalar, FAM perlu sedia 'senjata' lawan FIFA
Penyokong setia Kuching City FC, Ahet Jenis merakamkan gambar sebagai kenangan di Stadium Likas. — MFL
Menurut Ahet, perjalanan itu bermula dari Kuching sebelum singgah bermalam di Miri.
Keesokan paginya, mereka meneruskan perjalanan dengan melintasi sempadan Brunei sebelum tiba di Kota Kinabalu.
“Kalau ikut kiraan, lebih kurang 12 jam dari Kuching ke Miri, dan dari Miri ke Kota Kinabalu pula sekitar lapan ke sembilan jam.
“Bila bercakap mengenai kos pula, minyak saja lebih kurang RM800, belum termasuk hotel dan makan. Tapi semua itu tidak penting, janji dapat tengok Kuching menang depan mata,” jelasnya sambil tersenyum.
Perjalanan yang ditempuh bersama tiga lagi ahli keluarganya bukan sesuatu yang mudah, bahkan penat lelah dan kos yang dikeluarkan bukan satu penghalang buat mereka menjejakkan kaki ke Stadium Likas.
Ahet sanggup menempuh perjalanan 20 jam semata-mata untuk menyaksikan sendiri aksi Derby Borneo di Sabah. — MFL
“Perasaan memang gembira kerana dapat saksikan sendiri Kuching menentang Sabah. Sebagai peminat, itu satu kepuasan yang tak boleh digambarkan.
"Saya peminat bola sepak dari dulu, jadi berapa pun modal, yang penting saya gembira dapat jadi penyokong setia Kuching,” ujar Ahet penuh bangga.
Pengorbanan seperti Ahet itu membuktikan bahawa sokongan penyokong sejati menjadi nadi kepada semangat pasukan.
Selepas menewaskan Sang Badak dengan keputusan 1-0, Kuching City kini terus kekal berada di tangga keempat Liga Super dengan 13 mata berjaya dikutip daripada keseluruhan enam perlawanan yang sudah dilalui. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram