
SUATU ketika dahulu, wajahnya sering menghiasi akhbar serta muka hadapan majalah ekoran statusnya yang pernah dilabel sebagai kanak-kanak tercantik di dunia.
Namun, hari demi hari namanya kian suram dek perubahan generasi yang menyaksikan kedatangan ramai pendatang-pendatang baharu dalam dunia model peragaan yang mungkin lebih muda dan berbakat daripadanya.
Baru-baru ini, Thylane Blondeau kembali meniti di bibir masyarakat ekoran kehadirannya di Paris Fashion Week 2025.
BACA LAGI: Gagal lunas nafkah, Nurin Alisa dakwa bekas suami enggan jaga anak, dibiarkan tidur luar rumah
Penampilannya yang elegan namun ringkas, menjadi tumpuan lensa jurugambar yang kemudiannya menjadi bualan hangat warganet di laman sosial.
Menangkis tuduhan ramai yang mendakwa dirinya melakukan pembedahan kosmetik usai meningkat dewasa, Thylane menerusi hantaran di Instastory menegaskan bahawa penampilannya tidak berubah sejak kecil dan perubahan yang dilihat hanyalah hasil solekan serta kematangan usia.
"Saya tahu generasi sekarang ramai buat pembedahan kosmetik, tapi saya tak pernah sentuh apa-apa, orang suka bandingkan dan reka cerita.
"Tapi hanya sebab saya pakai lip liner tak bermakna saya ubah muka saya, sampai bila kita nak teruskan benda macam ni?" tegasnya.
Pembedahan cyst ovari
Pada 2022, Thylane mendedahkan pernah menjalani pembedahan membuang cyst ovari selepas beberapa kali didiagnosis oleh pakar.
"Tahun itu saya berjumpa tiga pakar sakit puan dan empat pusat radiologi di Paris, semua kata tak ada apa-apa tapi sebenarnya ada cyst besar.
"Akhirnya saya buat pembedahan dan sekarang baru rasa bebas," ujarnya.
Untuk rekod, Thylane mula melangkah ke dunia peragaan pada usia empat tahun, apabila menjadi model untuk jenama besar seperti Dolce & Gabbana, Versace dan Hugo Boss.
Selain itu, anak kepada bekas pemain bola sepak Ligue 1, Perancis, Patrick Blondeau dan personaliti popular Veronika Loubry tersebut turut pernah menjadi model kanak-kanak selain menghiasi majalah Vogue pada usia 10 tahun.
Namanya melonjak apabila disenaraikan sebagai 'Gadis Paling Cantik di Dunia' oleh TC Candler dalam senarai 100 Most Beautiful Faces of the Year sebagai gelaran yang kekal sinonim dengannya hingga kini.
Namun, dalam wawancara bersama agensi antarabangsa sebelum ini, Thylane mengakui gelaran itu tidak pernah mempengaruhi dirinya secara peribadi.
"Orang ramai cakap saya gadis paling cantik di dunia tapi saya rasa macam, saya bukan pun, saya cuma main iPad saja",” katanya sambil menambah bahawa walaupun sudah dewasa, dia masih melihat dirinya sebagai manusia biasa.
Kekal wajah tercantik dunia
Kini di usia 24 tahun, Thylane masih aktif dalam industri fesyen dan kekal tersenarai antara wajah tercantik dunia.
Pada 2019, dia sekali lagi mendahului senarai TC Candler dan mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokongnya sejak kecil.
"Saya sendiri tak percaya, terima kasih banyak kepada semua yang mengundi, saya sangat bersyukur," ciapnya di Instagram.
Perjalanan hidup Thylane Blondeau membuktikan bahawa gelaran dan kecantikan bukan jaminan kehidupan sempurna.
Di sebalik wajah yang disanjung ramai, dia tetap seorang wanita yang pernah berjuang dengan kesihatan, tekanan dan persepsi masyarakat namun masih berdiri teguh sebagai simbol kekuatan serta keanggunan sebenar. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram