Skandal bintang warisan: Kes lebih memihak FIFA, FAM perlu segera kemuka maklumat tepat — Pemerhati


  • Podium
  • Rabu, 08 Okt 2025

Skandal melibatkan FAM dan FIFA terus menjadi bahan bualan peminat serta orang ramai.

PENDEDAHAN FIFA berhubung latar belakang ketujuh-tujuh pmain warisan digantung seakan-akan menutup ruang buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat rayuan.

Ini kerana dokumen dikeluarkan organisasi antarabangsa tersebut menceritakan bagaimana kesemua tertuduh didapati tidak mempunyai kelayakan untuk beraksi buat Harimau Malaya.

Kesannya, penggantungan 12 bulan dan denda berjumlah CHF2,000 atau kira-kira RM10,560 ke atas kesemua tujuh pemain dikekalkan sehingga proses rayuan selesai.

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: FAM anggap dakwaan FIFA tak berasas

BACA LAGI: Penyokong terluka, FAM tak boleh diam — Hannah Yeoh

Hukuman denda CHF350,000 (RM1.8 juta) dikenakan terhadap FAM turut dikekalkan dengan segala tindakan diambil diharapkan memberi pengajaran tegas.

Namun, meskipun pendedahan FIFA itu membuka mata orang ramai, badan induk bola sepak negara itu masih tidak berganjak kerana mahu membuat rayuan dan menentang keputusan terbabit.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, FAM menegaskan pendirian bahawa ketujuh-tujuh pemain digantung merupakan warganegara tidak seperti mana ditekankan FIFA.

Hasrat organisasi tempatan itu sememangnya dibenarkan menurut undang-undang, namun peluang membatalkan hukuman terbabit adalah tipis seperti mana ditekankan pemerhati bola sepak tanah air, Afiq Rowley.

Tujuh pemain warisan negara yang dikaitkan dengan isu pemalsuan dokumen.

"Pada saya, kes ini lebih memihak kepada FIFA dan FAM perlu mempunyai maklumat tepat untuk menjernihkan kembali keadaan jika mereka memilikinya. Ini bukan sekadar bola sepak, tetapi unsur intergriti negara.

"Berhubung langkah bakal diambil, saya berpendapat kita tunggu dahulu apakah langkah bakal dibuat FIFA dan tidak terus terburu-buru mengambil langkah lain demi mengelak lebih banyak masalah lain timbul," katanya kepada Majoriti.

Skandal tersebut bukan sahaja menimbulkan kemarahan dalam kalangan peminat bola sepak, malah penduduk tempatan secara am kerana masing-masing mempersoalkan proses pihak berkepentingan sepanjang memberi kerakyatan.

Ini menyebabkan masing-masing mendesak agar agensi berkaitan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) tampil memberikan penjelasan.

Tumpuan ditujukan terhadap tindakan bakal diambil FAM dalam masa terdekat. — Facebook/FAM

"Hal ini melibatkan banyak jabatan lain seperti JPN dengan ketelusan diperlukan. Maka, mereka perlu mengeluarkan kenyataan supaya tidak banyak keburukan lain dikeluarkan kini dalam kalangan peminat," kata Afiq lagi.

Sekiranya tiada sebarang tindakan diambil, FAM perlu bersedia dalam menerima kritikan hebat dari media antarabangsa kerana sanggup mengambil jalan pintas untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.

Malah, setiap organisasi dalam negara yang terlibat dalam meluluskan kerakyatan ketujuh-tujuh pemain juga perlu bertanggungjawab kerana skandal berkenaan menyentuh pelbagai aspek integriti negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram