Hanya orang bodoh percaya pemain warisan Malaysia sah — Pemerhati Vietnam


  • Podium
  • Selasa, 07 Okt 2025

Quang Huy (gambar kecil) menyifatkan alasan yang diberikan FAM berhubung isu pemain warisan dalam kalangan pemain Harimau Malaya sebagai tidak masuk akal dan memalukan imej negara.

SKANDAL status pemain warisan yang melanda Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus menjadi bualan hangat di rantau Asia Tenggara apabila pemerhati bola sepak Vietnam, Vu Quang Huy, mengkritik keras tindakan badan induk itu.

Menurut laporan portal Soha, Quang Huy menyifatkan alasan yang diberikan FAM berhubung isu tersebut sebagai tidak masuk akal dan memalukan imej negara.

“Saya rasa ini skandal terbesar dalam sejarah bola sepak Malaysia. Mereka pernah terpalit isu mengatur perlawanan, tetapi kali ini lebih teruk kerana melibatkan maruah dan bendera negara,” katanya.

BACA LAGI: Penyokong terluka, FAM tak boleh diam — Hannah Yeoh

BACA LAGI: Kes dokumen palsu pemain warisan: AFC 'tunggu dan lihat' buat masa ini

Quang Huy yang juga bekas pemain bola menambah, hanya individu “terlalu bodoh” sahaja yang boleh mempercayai alasan yang diberikan FAM.

Pemerhati bola sepak Vietnam, Vu Quang Huy

“Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menaturalisasikan pemain secara tidak sah. Jujurnya, sesiapa yang mempercayai proses itu adalah sah, jelas tidak tahu apa-apa,” katanya lagi.

Quang Huy turut mendakwa isu pemain warisan Malaysia sudah lama menjadi rahsia umum dalam kalangan pemerhati bola sepak serantau, namun baru kini terbukti selepas siasatan FIFA.

“Selama ini kami sudah curiga, cuma tiada bukti kukuh. Tapi kalau dikatakan pemain Malaysia mempunyai keturunan dari Amerika atau benua jauh lain, itu jelas tidak masuk akal. Ada pihak tertentu yang sengaja menyusun agenda supaya semuanya kelihatan sah,” ujarnya.

Sementara itu, media Vietnam melaporkan bahawa ramai peminat bola sepak di negara itu kini menanti tindakan lanjut Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), termasuk kemungkinan Malaysia dikenakan hukuman tambahan.

Beberapa laporan turut meramalkan Malaysia mungkin tewas 0-3 kepada Vietnam dalam perlawanan sebelum ini kerana didakwa menurunkan tujuh pemain warisan yang tidak sah.

Malaysia dijadual menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027, manakala Vietnam bakal berdepan Nepal pada tarikh yang sama. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram