
PEMAIN tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Iker Undabarrena mengumumkan perpisahan bersama juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu.
Menerusi hantaran di Instagram, pemain kelahiran Sepanyol itu meluahkan rasa syukur dan menghargai pengalamannya bersama skuad Harimau Selatan, namun menyatakan masa bersama JDT kini sudah sampai ke penghujungnya.
"Selepas setahun yang cukup menakjubkan dengan pelbagai kenangan yang tidak akan saya lupakan, masa saya bersama JDT kini tiba ke penghujungnya," umum Undabarrena.
BACA LAGI: ‘Hilang tak terkesan, ada tak menambah’, kehilangan import JDT seolah tak dirindui
BACA LAGI: Imej Malaysia sudah tercalar, FAM perlu sedia 'senjata' lawan FIFA
Tonggak tengah berusia 30 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada keluarga besar JDT terutamanya kepada pemilik kelab, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, pihak pengurusan, rakan sepasukan dan penyokong Harimau Selatan.
"Saya mahu mengucapkan terima kasih buat pemilik kelab JDT, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Kiko Insa kerana mempercayai saya serta memberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah kelab hebat ini.
"Saya juga ingin berterima kasih kepada semua kakitangan, rakan sepasukan dan penyokong JDT yang melayan saya seolah-olah berada di rumah sendiri.
"Saya doakan yang terbaik untuk anda semua pada masa hadapan, JDT akan sentiasa di hati saya. Luaskan Kuasamu Johor," katanya di laman berkenaan.
Menurut laman Transfermarkt, kontrak Undabarrena bersama JDT sepatutnya berakhir pada 31 Mei 2026, tetapi pemain itu dilihat memilih untuk menamatkan kontrak lebih awal.
Sepanjang bersama Harimau Selatan, dia telah membuat 19 penampilan, namun pada musim 2025/26, dia hanya beraksi selama 33 minit dalam perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 12 Ogos lalu.
Bagaimanapun pemain berketinggian 1.82 meter itu tidak menjelaskan lebih terperinci berhubung keputusannya untuk menamatkan kontrak bersama Harimau Selatan lebih awal.
Walaupun kehilangan pemain tengah berpengalaman berkenaan, JDT dijangka tidak terjejas kerana mereka masih memiliki barisan pemain berkualiti di posisi tengah, termasuk Afiq Fazail yang dianggap tonggak penting pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram