[VIDEO] Bintang Liga A1 letakkan diri dalam senarai eksklusif, gegar JDT lepas hampir digugur


  • Podium
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Pemain warisan, Anuar Ceesay (kiri) menyerlah di posisi tengah apabila bijak mengatur gerakan dan melancarkan serangan berbahaya ke arah pertahanan JDT. — Instagram/anuarceesay

MISI mustahil yang sering menjadi impian pemain Liga Malaysia akhirnya berjaya direalisasikan oleh kelab Liga A1, UM Damansara United apabila mereka berjaya meledak tiga gol ke gawang kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi timbal balik Pusingan 16 Terbaik Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Khamis.

Kejayaan tersebut cukup manis buat UM Damansara bukan sahaja kerana berjaya menembusi benteng kental JDT yang terkenal dengan rekod bersih (cleansheet), tetapi juga kerana mereka hanya berstatus kelab Liga A1 berbanding JDT yang gah selaku juara Liga Super.

Walaupun tewas 3-5 dalam aksi timbal balik dan tersingkir dengan agregat 3-10, UM Damansara tetap pulang dengan prestasi membanggakan selepas mempamerkan semangat juang luar biasa serta mencipta sejarah tersendiri.

BACA LAGI: [VIDEO] Lambat jumpa rentak, bintang Liga Super tampil debut 'mengerikan'

BACA LAGI: Gelora pengurusan PDRM angkara isu gaji berterusan, poster berdepan JDT dihasilkan ala kadar

 

 

Lebih membanggakan, dua daripada tiga gol UM Damansara dijaringkan oleh pemain warisan, Anuar Ceesay yang dimasukkan pada babak kedua dan pantas mencuri tumpuan apabila meledak gol pada minit ke-66 dan m-74, manakala satu lagi gol disumbangkan oleh Thankgod Michael (m-62).

Menurut pemerhati sukan tanah air, Zulhelmi Zainal Azam, Anuar hampir digugurkan daripada senarai akhir pasukan sebelum perlawanan, namun keputusan untuk mengekalkannya nyata berbaloi apabila dia muncul antara pemain yang berjaya menembusi gawang JDT sebanyak dua kali dalam satu perlawanan musim ini.

I just have to thank Allah and say Alhamdulillah”, Anuar Cessay, namanya hampir digugurkan namun muncul pemain kedua ledak dua gol bertemu JDT selepas Jovan Motika musim ini," katanya.

Pemain berdarah campuran Malaysia-Inggeris itu kini tersenarai sebaris dengan pemain sayap Negeri Sembilan FC, Jovan Motika yang turut mencatat dua gol ketika menentang JDT dalam aksi Liga Super pada 12 Ogos lalu di gelanggang keramat skuad Harimau Selatan.

Kemasukan Anuar bukan sahaja mengubah tempo permainan, malah gandingannya bersama Thankgod Michael di bahagian serangan mencetuskan ancaman besar kepada pertahanan JDT yang jarang sekali leka.

Walaupun perlawanan berakhir dengan kekalahan buat UM Damansara, kejayaan menjaringkan tiga gol di kubu kebal SSI pastinya akan terus dikenang sebagai antara detik gemilang kelab tersebut dalam sejarah bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram