Perak buka peluang Aliyu buktikan diri, jangan silap langkah seperti 2 import Kedah


  • Podium
  • Khamis, 04 Sep 2025

Aliyu diharapkan mampu memacu skuad Seladang sepanjang kempen Liga A1 Semi Pro. — Facebook/Perak FA

AKTIVITI perpindahan minit akhir sempat dimeterai Perak FA sebelum jendela ditutup yang menyaksikan mereka membawa masuk pemain pertahanan import, Aliyu Abubakar.

Pemain itu dibawa masuk dalam usaha memperkukuhkan benteng pasukan yang perlu ditambah baik meskipun setakat tiga perlawanan, mereka hanya dibolosi sekali.

Ini kerana pasukan Utara tanah air terbabit memerlukan bek berpengalaman dalam usaha kembali ke pentas Liga Super dengan pemain muda sahaja masih belum mencukupi.

BACA LAGI: Flop’ di NSFC, bek Nigeria dipersoal jadi pilihan Perak FA bukannya penyerang

BACA LAGI: [VIDEO] Gol sendiri NS cetus persoalan di saat Sri Pahang tersungkur di Paroi

Aliyu diumumkan sebagai rekrut terakhir skuad Seladang bagi saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26. Facebook/Perak FA

Meskipun kariernya tidaklah begitu berwarna-warni, masa dihabiskan Aliyu bersama Negeri Sembilan FC pada musim 2024/25 memberi peluang buatnya merasai cabaran bola sepak tempatan.

Tempoh tersebut menjadikannya aset bernilai buat Perak FA dengan kepercayaan diberikan pihak pengurusan seharusnya menjadi medan buat bek dari Nigeria itu membuktikan diri buat kali kedua.

Malah, sekiranya berjaya menempa nama bersama skuad Seladang, pemain berusia 29 tahun itu mampu membaiki reputasinya dalam arena bola sepak tempatan kerana dia agak bergelut sepanjang bersama Negeri Sembilan FC.

Ini kerana dia beraksi dalam pasukan yang sedang berada dalam fasa pemulihan dengan gol sendiri semasa berdepan Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super hanya menjejaskan imej bek tengah itu.

Jika berjaya bersama Perak FA, Aliyu akan menikmati kisah lebih baik dengan ia sesuatu yang berbeza sekiranya hendak dibandingkan akan dua bekas import Liga Super yang memilih Liga A1 Semi Pro.

Aliyu yang beraksi buat skuad Jang pada musim 2024/25 bergelut untuk memberi impak yang besar. Facebook/Negeri Sembilan FC

Bintang dimaksudkan ialah dua tonggak Kedah FA, Pape Diakite dan Abubakar Yakubu yang belum kembali menghangatkan arena bola sepak negara musim ini selepas pernah mewakili kelab tempatan lain.

Pape sebelum ini cukup dikenali selepas beraksi cemerlang buat Terengganu FC pada 2022 dengan membawa pasukan itu ke pentas akhir Piala FA sebelum menamatkan saingan Liga Super sebagai naib juara.

Sementara itu, Abubakar juga berpengalaman di pentas Liga Super apabila menghabiskan separuh musim yang baik buat Sri Pahang FC pada 2021 sebelum berkelana ke Bahrain dan menyertai Hidd SC.

Kedua-dua pemain berkenaan sememangnya memiliki nilai cukup hebat dengan keberadaan masing-masing diharapkan mampu menjadikan skuad Lang Merah pencabar utama takhta Liga A1 Semi Pro.

Pape (kiri) dan Abubakar beraksi buat Liga A1 Semi Pro selepas sebelum ini berada di pentas Liga Super. Facebook/Kedah FA

Bagaimanapun, setakat ini, kedua-dua import itu belum meninggalkan impak mencukupi buat Kedah FA yang hanya berada di tangga ke-14 selepas dua perlawanan.

Mereka yang belum menjaringkan sebarang gol mahupun dibolosi perlu memperbaiki kedudukan itu selepas membuat rombakan besar pada jendela perpindahan lalu dengan membawa masuk pemain tempatan dan luar negara.

Walaupun tugasan itu tidaklah dipikul Diakite dan Abubakar, mereka seharusnya memberi impak di bilik persalinan memandangkan harapan lebih besar diletakkan di bahu masing-masing.

Situasi berbeza diharapkan mampu ditonjolkan Aliyu bersama Perak FA dengan gandingannya bersama pemain pertahanan lain seperti Fadhil Idris dan 'ubi muda' lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram