
JAGUH menembak Turkiye tekenal dengan gelaran ‘John Wick Turkiye’, Yusuf Dikec, sekali lagi mencuri perhatian apabila membantu negaranya meraih tiga pingat emas dalam Kejohanan Liga Juara-Juara Eropah bagi pistol angin yang berlangsung di Istanbul pada Ahad.
Dikenali dengan gaya tenang dan bersahaja setiap kali beraksi, Dikec membuktikan kelas tersendiri apabila bergandingan bersama Mustafa Inan untuk menewaskan pasangan Jerman, Christian Reitz dan Paul Froehlich, 2-0 dalam final berpasukan lelaki.
“Mewakili negara di depan penyokong sendiri di Istanbul, buat kali pertama kejohanan ini diadakan di Istanbul adalah satu penghormatan besar.
"Menang emas di sini sangat bermakna dan menjadi persiapan terbaik menuju Kejohanan Dunia di Kaherah, November nanti,” katanya kepada Turkey Today.
Yusuf Dikeç, the guy who went viral at the Paris Olympics for being chill with one hand in his pocket, just won gold at the 2025 European Championships like it’s nothing
— kira(@kirawontmiss) October 6, 2025
Untuk rekod, nama Dikec mula tular ketika Sukan Olimpik Paris 2024 selepas memenangi pingat perak dalam acara pistol angin 10 meter campuran.
Ketika itu, dia mencuri perhatian ramai dengan penampilan yang amat sederhana, tanpa sebarang alat tambahan atau gimik dengan hanya berbekalkan keseimbangan dan tumpuan diri sepenuhnya.
Penampilannya yang santai, mengenakan t-shirt longgar pasukan Turkiye berwarna putih, penyumbat telinga kuning kecil, dan tangan kiri yang dimasukkan ke dalam poket seluar trek kasual, menjadikannya tular di media sosial seluruh dunia.
Kejayaan itu juga melakar sejarah apabila Dikec menjadi pemenang pingat pertama Turkiye dalam sukan menembak di Olimpik serta atlet tertua negara itu meraih pingat, sesuatu yang diakui mengubah kehidupannya selepas temasya di Paris.
"Saya sentiasa percaya kepada keseimbangan dan tumpuan diri berbanding bergantung pada peralatan.
"Itu cara paling semula jadi bagi saya, dan saya gembira apabila dunia dapat melihatnya di Olimpik,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram