
DENTUMAN kuat dan kemunculan bola api yang menggemparkan penduduk di sekitar Cirebon, Jawa Barat pada Ahad lalu, disahkan berpunca daripada jatuhnya meteor besar di kawasan Laut Jawa.
Ahli astronomi Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN), Profesor Thomas Djamaluddin berkata, hasil analisis menunjukkan objek bercahaya itu merupakan meteor bersaiz besar yang melintas di ruang udara Indonesia sebelum jatuh ke laut.
“Saya menyimpulkan itu adalah meteor cukup besar yang melintas,” katanya di Jakarta pada Isnin.
BACA LAGI: [VIDEO] Bagaikan ‘hujan meteor’, pertunjukan bunga api dron bertukar cemas di China
BACA LAGI: [VIDEO] Greta Thunberg antara 70 aktivis dibebaskan, dihantar ke Athens pada Isnin
Menurut Thomas, meteor berkenaan dikesan jatuh di kawasan Laut Jawa selepas melintasi wilayah Kuningan dan Cirebon dari arah barat daya sekitar pukul 6.35 hingga 6.39 petang waktu tempatan pada Ahad.
Jelas Thomas, dentuman kuat yang didengar penduduk berpunca daripada gelombang kejut apabila meteor itu memasuki lapisan atmosfera yang lebih rendah.
Detik-detik benda yg diduga meteor terlihat di langit Tegal, Brebes dan akhirnya jatuh di dekat tol Ciperna wilayah Cirebon pada Hari Minggu
5 Oktober sore sekitar pukul 18.30 WIB.
via @MurtadhaOne1 @info.cigadung @groobaag pic.twitter.com/RHvbti4vse
— Radio Sonora Jakarta (@SonoraFM92) October 6, 2025
“Ketika memasuki atmosfera yang lebih rendah, ia menimbulkan gelombang kejut berupa suara dentuman,” katanya.
Bagaimanapun, Thomas menegaskan fenomena tersebut tidak mendatangkan sebarang kesan bahaya kepada penduduk.
Fenomena langit itu dilaporkan dapat dilihat dengan jelas sekitar pukul 6.30 petang di beberapa kawasan di timur Cirebon, terutama di Lemahabang, apabila penduduk menyaksikan bola api meluncur pantas di langit sebelum hilang di kejauhan.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) turut mengesahkan pihaknya mengesan getaran seismik signifikan pada pukul 6.39 petang melalui sensor berkod ACJM.
Selain itu, beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut memaparkan objek bercahaya menyerupai bola api meluncur di langit sekitar pukul 6.35 petang.
Beberapa penduduk juga berkongsi pengalaman melihat bola api itu melintas cepat disertai bunyi dentuman kuat yang menggema di udara sebelum suasana kembali tenang.
Pada masa sama, terdapat laporan awal daripada penduduk yang mendakwa objek berkenaan jatuh berhampiran ruas Tol Ciperna pada malam kejadian.
Menurut saksi, objek bercahaya itu diduga jatuh ke kawasan berhampiran lebuh raya tersebut sebelum menyebabkan kebakaran kecil di lokasi kejadian. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram