
SETELAH 17 tahun berpisah, tiga legenda bola sepak Kedah yang pernah membentuk era kegemilangan 'Double Treble' bakal kembali berkongsi padang dalam aksi persahabatan sempena Piala CT Global Legend Cup 2025 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada 10 Oktober ini.
Perlawanan amal itu dijangka menjadi medan penuh nostalgia buat penyokong Hijau Kuning apabila trio import ikonik Cornelus Huggins, Nelson San Martín dan Marlon Alex James kembali bergandingan selepas sekian lama membawa nama Kedah ke puncak kejayaan sekitar 2007 hingga 2008.
Bagi bekas pertahanan kental Kedah iaitu Huggins, kembalinya ke Alor Setar disifatkan seperti pulang ke rumah sendiri susulan bek tengah itu bermain selama lima tahun bersama Kedah.
BACA LAGI: JPJ perlu bantu remaja luar bandar ambil lesen memandu demi kelayakan BUDI95 — NGO Kedah
BACA LAGI: Hampir sebulan di ICU, legenda Kedah, Hussin Jaafar mula tunjuk perkembangan positif
“Saya rasa baik. Selamat kembali. Selamat pulang. Rumah kedua saya. Saya gembira dapat berada di sini lagi dengan kawan-kawan baik dan penyokong. Ia seperti sebuah keluarga.
"Kita perlu menang permainan ini, dan kita pasti akan menang apabila anda datang menyokong kami pada 10 Oktober," katanya penuh semangat menerusi video dimuat naik oleh Kelab Bola Sepak FAB.
Sementara itu, Nelson San Martín yang sinonim dengan hantaran dan sepakan percuma tajamnya, tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila kembali bertemu rakan seperjuangan selepas hampir dua dekad.
“Saya rasa ini kali pertama kita berjumpa selepas 17 tahun. Saya pun tak nampak Marlon sejak 2013–2014. Saya sangat gembira dan sukar nak jelaskan dengan kata-kata.
"Harap penyokong datang ramai-ramai. InsyaALLAH 15,000 orang di sini. Datang dan sokong pasukan pertama di Malaysia yang cipta Double Treble,” ujarnya dengan nada penuh bangga.
Bagi Marlon Alex James, penyerang berbisa yang menjadi nadi kepada kejayaan gemilang Kedah, peluang bermain semula di Darul Aman dianggap momen istimewa dalam kariernya.
"Saya sangat teruja. Ini sesuatu yang saya selalu ingin lakukan iaitu kembali dan bermain untuk peminat. Saya rasa seperti di rumah.
"Ini kali pertama kami bertiga, import dan pemain tempatan, akan bersatu semula. Ia adalah perayaan masa lalu dari era Double Treble,” kata pemain yang merangkul Kasut Emas Liga Malaysia pada 2008.
Perlawanan itu bukan sahaja mengimbau memori indah buat penyokong Hijau Kuning, tetapi turut menjadi simbol penghargaan kepada generasi pemain yang pernah mengukir sejarah luar biasa dalam bola sepak Malaysia.
Marlon (empat dari kanan) dan Huggins (tiga dari kiri) disambut oleh bekas pemain-pemain bola sepak Kedah Darul Aman era 'Double Treble' musim 2007/2008 sebaik tiba di Kedah. — Facebook/Group Info Bola Kedah
Untuk info, pasukan Ex Double Treble Kedah akan dikendalikan oleh Radhi Mat Din dan dibarisi pemain-pemain ternama seperti Baddrol Bakhtiar, Akmal Rizal, Rafdi Rashid, Helmi Eliza Elias, Shafizan Hashim serta Nelson San Martin.
Sementara itu, skuad Ex Malaysia Legend pula akan dibimbing oleh Tan Cheng Hoe, dengan dibarisi nama-nama besar bola sepak tanah air seperti Safiq Rahim, Amri Yahyah, Khalid Jamlus dan Indera Putra Mahyuddin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram