FAM perlu segera pilih presiden baharu, tubuh ‘task force’ — Bekas Exco


  • Podium
  • Selasa, 07 Okt 2025

Badan induk bola sepak tersebut perlu membuat perubahan segera demi masa depan lebih cerah.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu segera mengadakan pemilihan presiden baharu tanpa perlu menunggu hingga tahun depan, bekas exconya, Datuk Christopher Raj.

Gesaan tersebut dibuat susulan krisis pemalsuan dokumen pemain warisan yang ketika ini mencetuskan masalah besar dalam arena bola sepak negara.

Menurutnya, FAM kini seolah-olah beroperasi tanpa arah tuju yang jelas berikutan kekosongan tampuk kepimpinan, sekali gus menimbulkan persoalan tentang siapa yang akan mengetuai usaha rayuan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman berat yang dikenakan terhadap badan induk itu.

BACA LAGI: Imej Malaysia sudah tercalar, FAM perlu sedia 'senjata' lawan FIFA

BACA LAGI: Skandal pemain warisan: FAM anggap dakwaan FIFA tak berasas

Christopher Raj menegaskan perubahan perlu dibuat dalam badan induk bola sepak negara itu.

“FAM mesti segera memilih presiden baharu. Kita tidak perlu tunggu sampai tahun depan kerana sekarang tiada pemimpin. Sebuah persatuan yang tiada nakhoda. Dengan krisis yang sedang berlaku, siapa pemimpin yang akan membawa isu ini ke FIFA? Tiada,” katanya yang juga pemerhati sukan.

Christopher turut menjelaskan bahawa FIFA hanya akan berurusan secara rasmi dengan Presiden dan Setiausaha Agung FAM, bukan dengan mana-mana pihak lain.

Justeru, pemilihan segera amat penting bagi memastikan proses komunikasi dan rayuan dapat dijalankan dengan teratur.

“Kenapa FAM mahu tunggu Februari untuk buat pemilihan? Mereka sepatutnya melakukannya pada November atau Disember. Tidak kira siapa jadi presiden, yang penting proses pemilihan perlu dijalankan segera,” katanya lagi.

Tindakan diambil FIFA ke atas FAM memberi kesan buruk terhadap arena bola sepak tempatan.

Dia turut mencadangkan agar organisasi tempatan itu menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas (task force) yang terdiri daripada ahli bebas yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan bola sepak tempatan bagi menyiasat secara telus bagaimana kesilapan besar ini boleh berlaku.

“Pasukan task force ini perlu meneliti punca sebenar kegagalan, mengenal pasti kelemahan sistem, dan membentangkan laporan lengkap kepada presiden baharu FAM untuk tindakan susulan. 

"Hanya melalui ketelusan dan akauntabiliti, keyakinan penyokong dapat dipulihkan,” jelasnya.

Krisis pemalsuan dokumen pemain warisan kini menjadi tamparan hebat buat bola sepak Malaysia, selepas FIFA mengenakan denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap organisasi tempatan itu.

Selain itu, FIFA mengenakan penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain terlibat dengan FAM turut difahamkan dalam proses memfailkan rayuan rasmi terhadap keputusan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram