
SETIAP pemain bola sepak pastinya memasang impian untuk mencipta penampilan sulung yang gemilang bersama kelab baharu mereka.
Sama ada menjaringkan gol, mencipta bantuan jaringan ataupun mengekalkan cleansheet bagi posisi pertahanan dan penjaga gol, itulah momen yang diidamkan dalam aksi pertama.
Namun, hakikatnya tidak semua impian tersebut menjadi kenyataan.
BACA LAGI: Penang FC bukan ukuran, tekanan fans Jang Hobin ujian sebenar Luqman Hakim
Ada pemain yang gagal menampilkan prestasi meyakinkan, malah tidak terlepas daripada kritikan hebat penyokong pada aksi sulung mereka.
Situasi sebegini pastinya menimbulkan keresahan dalam kem pasukan, apatah lagi harapan penyokong semestinya tinggi untuk melihat aksi memberangsangkan daripada pemain baharu yang diharapkan mampu memperkuatkan pasukan.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dilihat masih bergelut untuk menyesuaikan diri sepenuhnya dengan suasana baharu bersama pasukan masing-masing.
1. Dean Pelekanos
Pemain import Sabah FC dari Australia, Dean Pelekanos mengalami detik mengecewakan dalam penampilan sulungnya bersama kelab Borneo itu.
Menyertai Sabah untuk musim 2025/2026, penampilan pertama Pelekanos berakhir dengan insiden yang tidak diingini apabila dia dilayangkan kad merah ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC pada 13 Ogos lalu.
Pada awal separuh masa kedua, pemain tengah berusia 24 tahun itu melakukan terjahan keras terhadap Ryan Lambert ketika The City Boys sedang membina serangan.
Selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR), tindakan Pelekanos disahkan sebagai kesalahan serius dan pengadil mengambil keputusan melayangkan kad merah kepadanya.
Insiden tersebut menyaksikan debut pemain import Sabah itu berakhir dengan kekecewaan, sekali gus menimbulkan rasa kurang senang di kalangan penyokong pasukan.
Bukan itu sahaja, pemain yang beraksi di posisi tengah itu juga dilihat masih belum menemui keserasian bersama rakan sepasukan, apabila gagal membantu Sabah FC meraih sebarang kemenangan dalam saingan Liga Super selepas lima perlawanan berlangsung.
2. Ibrahim Manusi
Siapa sangka pemain yang pernah dipuji hebat atas aksi cemerlang menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam final Piala FA 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur kini menerima kritikan hebat daripada penyokong Harimau Selatan.
Ibrahim Manusi yang sebelum ini menunjukkan prestasi mantap bersama Sri Pahang FC dalam mengekang jentera serangan JDT, kini dilihat masih bergelut untuk mencari keserasian bersama skuad Harimau Selatan pada musim 2025/26.
Debutnya sebagai bek tengah gantian tidak berjalan lancar apabila dia menerima cemuhan selepas gol kedua pihak lawan tercipta akibat kelekaan dalam mengeluarkan bola.
Walaupun didampingi dua bek berpengalaman, Corbin Ong dan Junior Estdal, Ibrahim masih gagal menampilkan persembahan terbaik.
Ramai penyokong turut menuding jari kepadanya selepas JDT dibolosi tiga gol yang kesemuanya dipercayai berpunca daripada kecuaian pemain berusia 24 tahun itu dalam menjaga pertahanan.
Untuk rekod, JDT mudah mara ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan UM-Damansara United dengan agregat 10-3.
Namun, walaupun mencatatkan cleansheet dalam aksi pertama Piala FA dengan kemenangan 5-0, JDT gagal mengekalkan rekod tersebut apabila dibolosi tiga gol oleh wakil kelab Liga A1, yang juga mencatatkan kejayaan menembusi gawang yang dijaga oleh penjaga gol muda, Christian Abad.
3. Haimie Nyaring
Penampilan sulung penjaga gol DPMM Brunei FC, Haimie Nyaring ternyata bukan seperti yang diharapkan apabila gawangnya dibolosi empat kali dalam aksi menentang Kuala Lumpur City FC pada 22 September lalu.
Diberi kepercayaan untuk mengawal benteng terakhir pasukan, Haimie jelas berdepan tekanan apabila gagal menampilkan aksi meyakinkan dalam penampilan pertamanya musim ini.
Kekalahan tersebut bukan sahaja merencatkan impian DPMM FC untuk mencatat keputusan positif, malah menyaksikan debut Haimie berakhir tanpa sebarang penyelamatan bermakna.
Lebih mengecewakan, segelintir penyokong menganggap Haimie masih belum cukup serasi dengan pasukan, memandangkan itu merupakan penampilan pertamanya selepas lima perlawanan terdahulu hanya menghuni bangku simpanan.
Siapa sangka, peluang keemasan yang diberikan kepadanya untuk menjadi penjaga gawang utama berakhir dengan keputusan yang cukup mengecewakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram