[VIDEO] Kontroversi derby Borneo, Sabah kempunan penalti sebelum gawang dirobek pemain naturalisasi


  • Podium
  • Ahad, 05 Okt 2025

Tangkap layar menunjukkan detik-detik Jimmy Raymond dikesan melakukan kekasaran terhadap pemain Sabah FC, R. Dinesh.

SKUAD Kuching City FC berjaya menamatkan badi kekalahan kepada Sabah FC apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam aksi sengit Liga Super 2025/26 yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah pada Sabtu.

Kemenangan bersejarah itu bukan sahaja membawa pulang tiga mata penuh buat skuad The Cats malah menyaksikan mereka kini bergelar sebagai 'Raja Bola Sepak Borneo' yang baharu selepas sekian lama dibayangi keunggulan pasukan Sang Badak.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Jordan Mintah yang bijak memanfaatkan kekeliruan di benteng pertahanan Sabah sebelum menanduk masuk bola ke dalam gawang.

BACA LAGI: [VIDEO] Tahun lalu rekod tercalar di Selayang, mampukah JDT lepasi ‘roadblock’ PDRM demi musim 100 peratus

BACA LAGI: Hero Derby Pantai Timur patut diikat lebih lama Sang Penyu, tapi lain pula kisah Gabriel Silva

Kemenangan itu sekali gus menamatkan penantian kemenangan Kuching City kepada Sabah sejak sekian lama dalam pertembungan yang sebelum ini lebih memihak kepada pasukan tuan rumah.

Namun, kemenangan The Cats turut diselubungi kontroversi apabila keputusan pengadil yang tidak menghadiahkan sepakan penalti kepada Sabah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan penyokong di media sosial.

Insiden yang berlaku pada minit ke-22 itu menyaksikan pemain pertahanan Kuching City, Jimmy Raymond didakwa melakukan kekasaran terhadap pemain Sabah FC, R. Dinesh dalam kawasan kotak penalti.

Bermula dengan gerakan dari sebelah kiri oleh S. Kumaahran, bola dihantar ke arah Dinesh yang berada dalam posisi bersedia mencipta peluang dalam menjaringkan gol, namun dikatakan ditolak oleh Jimmy dalam usaha untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Mohamad Kamil Zakaria Ismail tidak menganggap ia sebagai satu kesalahan dan sebaliknya memberikan sepakan percuma kepada Kuching City.

Rakaman insiden tersebut tular di media sosial menerusi laman Facebook milik Timin Itep yang mengundang reaksi pelbagai daripada penyokong yang merasakan Sabah seharusnya diberikan sepakan penalti.

Sekiranya penalti itu diberikan, Sabah FC pastinya mampu meraih kelebihan awal dan menguasai permainan untuk mencatatkan kemenangan buat kali pertama dalam saingan Liga Super musim ini.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Sabah kini menghuni tangga kedua tercorot saingan Liga Super dengan mengutip tiga mata selepas enam perlawanan liga berlangsung, satu rekod yang cukup membimbangkan buat kem Sang Badak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram