
PENYERANG import Terengganu FC, Yann Mabella terus membuktikan ketajamannya di hadapan gawang apabila meledak dua gol ketika membantu pasukannya menundukkan Kelantan The Real Warriors dengan keputusan 4-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu dalam aksi Liga Super pada Jumaat.
Dua jaringan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan gol peribadi Mabella kepada tujuh selepas sembilan perlawanan Liga Malaysia musim 2025/26, satu pencapaian yang cukup membanggakan buat pemain berusia 29 tahun itu.
Mabella menyertai skuad Sang Penyu secara rasmi pada 3 Julai 2025 setelah berpindah dari kelab RFCU Luxembourg, yang beraksi dalam Liga Luxembourg.
BACA LAGI: [VIDEO] Bintang Liga A1 letakkan diri dalam senarai eksklusif, gegar JDT lepas hampir digugur
BACA LAGI: [VIDEO] Lambat jumpa rentak, bintang Liga Super tampil debut 'mengerikan'
Penyerang berbisa Sang Penyu, Yann Mabella. — Facebook/TFC
Kehadirannya nyata memberikan impak besar buat Terengganu FC, yang sebelum ini dilihat bergelut di posisi serangan.
Ketajaman dan kerajinan Mabella di atas padang bukan sahaja mencuri perhatian barisan kejurulatihan, malah turut memikat hati para penyokong setia Peteh yang kini mengharapkan sentuhan emasnya terus menghadirkan kemenangan demi kemenangan.
Melihat kepada prestasi semasa, para penyokong TFC tampil menyuarakan harapan agar kontrak Mabella dilanjutkan secepat mungkin sebagai penghargaan atas sumbangannya.
“Enam gol untuk tujuh perlawanan, boleh sudah lanjutkan kontrak Yann Mabella,” kata Engku Hisham Engku Mohamad.
“Mabella wajib dibayar dua kali ganda dan sambung kontrak awal-awal. Sangat puas hati dengan prestasinya," kata Abdul Malik.
Sikap tamak yang dipamerkan oleh Gabi (kiri) di atas padang menerima kritikan daripada penyokong Sang Penyu. — Facebook/TFC
Namun dalam kegembiraan meraikan ketajaman Mabella, tumpuan turut terarah kepada pemain sayap import TFC, Gabriel Silva yang dikritik kerana dikatakan terlalu mementingkan diri di atas padang.
Segelintir penyokong berpendapat sikap tamak Gabriel Silva atau mesra disapa Gabi didakwa telah menafikan beberapa peluang jaringan buat Mabella.
“Gabi tamak, tak nak bagi bola kepada Mabella. Kalau tidak, mungkin lebih banyak gol sudah Mabella jaringkan,” ujar Ibrahim Hussin.
“Gabi tak sesuai untuk TFC, terlalu pentingkan diri. Tak boleh jadi kalau tak nak ‘bagi bola’,” tambah seorang lagi penyokong, Sabri Sha'ari.
Setakat ini, Terengganu FC menghuni tangga ketiga carta Liga Super selepas mengutip 13 mata daripada tujuh perlawanan, satu permulaan yang positif bagi skuad kendalian Badrul Afzan Razali musim ini yang dilihat kian menemui rentak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram