Ibu mentua pemain Malaysia ditahan terlibat kes palsu cop pasport


  • Kes
  • Ahad, 05 Okt 2025

Ibu mentua seorang pemain bola sepak kebangsaan ditahan bersama tiga individu lain dalam satu serbuan. — Gambar hiasan

SEORANG wanita berusia 46 tahun yang juga ibu mentua seorang pemain bola sepak kebangsaan ditahan bersama tiga lelaki warga Pakistan selepas disyaki terlibat dalam sindiket pemalsuan cop pasport dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Gombak, Selangor baru-baru ini.

Kesemua suspek kini direman sehingga 8 Oktober bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan serta kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dan imigresen.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan tangkapan berkenaan dan dijangka mengeluarkan kenyataan penuh tidak lama lagi.

BACA LAGI: Hero Derby Pantai Timur patut diikat lebih lama Sang Penyu, tapi lain pula kisah Gabriel Silva

BACA LAGI: [VIDEO] Tahun lalu rekod tercalar di Selayang, mampukah JDT lepasi ‘roadblock’ PDRM demi musim 100 peratus

Kesemua suspek ditahan atas kesalahan penipuan serta pemalsuan dokumen dan pelanggaran undang-undang imigresen. Gambar hiasan

Menurut laporan awal, tangkapan dibuat pada Rabu (1 Oktober) hasil maklumat risikan polis terhadap sindiket yang dipercayai aktif beberapa bulan lalu di kawasan tersebut.

Memetik laporan Harian Metro, serbuan dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak selepas menahan seorang lelaki warga Pakistan yang dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan sindiket tersebut.

Dalam pemeriksaan di kediaman berkenaan, polis menemui pelbagai cop rasmi daripada beberapa negara termasuk Pakistan, Indonesia dan Malaysia yang dipercayai digunakan untuk memalsukan dokumen perjalanan.

Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Rawang untuk siasatan lanjut, manakala barang rampasan disita bagi membantu siasatan. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram