LIGA Bola Sepak Amatur (AFL) menganugerahkan kemenangan 3-0 kepada Perak FA selepas kelab Malaysian University Football Team (MUFT) gagal memastikan padang dalam keadaan sempurna untuk perlawanan berlangsung.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Isnin, AFL memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah selepas meneliti laporan rasmi berhubung perlawanan antara MUFT dan Perak FA.
BACA LAGI: S. Sivasundaram isi 'kerusi panas' AFL, tak lagi terlibat jawatankuasa pengadilan
BACA LAGI: KDA FC-Kedah FA usah khuatir, AFL keluarkan jadual secepat mungkin elak pertembungan
"Ahli Lembaga Pengarah AFL telah membuat keputusan memberikan kemenangan 3-0 kepada Perak FA di atas kegagalan pasukan MUFT selaku pasukan tuan rumah untuk menyediakan dan memastikan venue dalam keadaan yang sesuai untuk perlawanan dilangsungkan.
"Pasukan MUFT juga dikenakan denda sebanyak RM10,000.00 dan amaran keras untuk tidak mengulangi kesalahan tersebut," menurut kenyataan dimuat naik pada laman Facebook AFL.
AFL menegaskan bahawa pihaknya memandang serius insiden tersebut dan mengingatkan semua pasukan agar memastikan venue perlawanan memenuhi standard ditetapkan bagi menjamin kelancaran saingan.
“Ahli Lembaga Pengarah AFL juga memandang serius perkara ini dan menasihatkan pasukan-pasukan yang bertanding untuk tidak melakukan kesalahan yang sama,” tambah kenyataan itu.
Dengan keputusan tersebut, Perak FA secara rasmi dikira menang 3-0, manakala MUFT terpaksa menanggung akibat kecuaian sendiri dalam memastikan kemudahan perlawanan berada pada tahap terbaik.
Berdasarkan foto dikongsikan di media sosial, kelihatan keadaan padang di stadium tersebut cukup baik, namun garisan tidak kelihatan dengan jelas.
Kesilapan tersebut sememangnya menghalang sebarang perlawanan daripada diteruskan kerana garisan diperlukan pemain dan pengadil untuk mengetahui had permainan.
Isu berkenaan sudah tentu mencalarkan perasaan penyokong pasukan pelawat dengan ada daripadanya sudah tiba lebih awal untuk memberi sokongan kepada Perak FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
