'Bagaimana kebodohan ini boleh berlaku?', Ultras Malaya pecah kebisuan, buat 3 tuntutan skandal pemain warisan


  • Podium
  • Rabu, 01 Okt 2025

Ultras Malaya meminta kesemua pihak berwajib agar lebih telus berhubung isu melibatkan FAM dan FIFA itu.

KUMPULAN penyokong tegar skuad kebangsaan, Ultras Malaya tampil memecah kebisuan apabila membuat tiga tuntutan berhubung isu tujuh pemain warisan yang digantung FIFA.

Dalam satu hantaran dibuat di Facebook, kumpulan tersebut melihat tindakan badan induk bola sepak antarabangsa itu pada Sabtu lalu mencalarkan imej negara.

Jadi, selepas empat hari skandal itu menjadi buah mulut, mereka mendesak agar pihak bertanggungjawab dalam memberi penerangan dengan jujur berhubung isu terbabit.

BACA LAGI: Pestabola Merdeka 2024 mungkin sunyi, 3 Ultras negeri nekad boikot kejohanan FAM

BACA LAGI: Ultras Malaya kena buang ego, tindakan boikot bukan cara wajar

"Kami menuntut agar pihak KDN (Kemeneterian Dalam Negeri) dan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) memberi penerangan adakah permohonan dan proses kewarganegaraan tujuh pemain terlibat diurus dengan baik dan teliti. 

"Kami menuntut penerangan dari pihak KDN dan JPN bagaimana apa yang terkandung Perkara 19 Perlembagaan Malaysia bertentangan dengan kelulusan permohonan kerakyatan 7 pemain terbabit," tulisnya.

Sebelum ini, kedua-dua jabatan tersebut mengesahkan proses dokumentasi berhubung kesemua pemain terlibat sudah mengikuti proses dan prosedur ditetapkan.

Namun, jawapan tersebut belum cukup untuk menyelesaikan masalah berkenaan dengan FIFA masih belum menarik sebarang hukuman ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan ketujuh-tujuh pemain terlibat.

Ultras Malaya turut membuat tuntutan ke atas badan induk bola sepak tempatan itu agar bersikap telus dan menceritakan masalah dokumentasi melibatkan mereka yang bersalah.

"Kami juga menuntut pihak FAM memberi penerangan apakah kesilapan teknikal yang dilakukan ketika penyerahan dokumen kepada pihak FIFA dan bagaimana kebodohan ini boleh berlaku.

"Kami juga menuntut CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) atau Timbalan CEO Pasukan Kebangsaan segera mendedahkan susur galur pemain terbabit," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram