[VIDEO] Jalur Gemilang tersangkut basikal atlet Australia, ibu bapa dipesan jaga anak-anak semasa LTdL 


  • Podium
  • Ahad, 05 Okt 2025

Tangkap layar Jalur Gemilang tersangkut pada basikal Eddy.

AKSI pelumba profesional dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dikejutkan dengan insiden tidak dijangka apabila Jalur Gemilang yang dipegang seorang kanak-kanak tersangkut pada basikal pelumba pasukan Team Picnic PostNL, Patrick Eddy. 

Menerusi video berdurasi 21 saat yang dimuat naik pengguna Facebook, Khairul GM, kejadian itu berlaku ketika pelumba dari Australia itu melalui kawasan tumpuan penonton di tepi jalan. 

Rakaman menunjukkan bendera yang dikibarkan oleh seorang kanak-kanak perempuan secara tidak sengaja menyangkut pada tayar depan basikal Eddy, menyebabkan pelumba tersebut terpaksa berhenti seketika bagi memeriksa keadaannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Muntah-muntah sebelum beraksi, pelumba Terengganu tersingkir LTdL akui ada jurang kualiti

BACA LAGI: [VIDEO] Malang berganda, Mohd Elmi patah jari, didenda RM978.50 di LTdL 2024

"Apabila mak bapa sibuk nak buat content," kata Khairul GM yang menegur sikap segelintir ibu bapa terlalu leka merakam video sehingga mengabaikan keselamatan anak mereka dan pelumba.

Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, insiden itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan netizen yang menasihatkan ibu bapa supaya lebih berwaspada semasa menonton perlumbaan jalan raya.

Ramai berharap kejadian seperti itu tidak berulang kerana selain boleh membahayakan pelumba profesional, ia juga boleh mengundang risiko kepada penonton khususnya kanak-kanak yang berada terlalu dekat dengan laluan perlumbaan.

Untuk info, Eddy berhasil memastikan gelaran Raja Bukit menjadi miliknya selepas menyambar jersi polka dot, mengenepikan cabaran Jambaljamst Sainbayar dari pasukan Burgos Burpellet BH walaupun berkongsi 15 mata.

Manakala, pelumba dari pasukan Team TotalEnergies, Joris Delbove memenangi jersi hijau selaku Juara Keseluruhan (GC), walaupun dia menamatkan perlumbaan peringkat kelapan dari Tangkak ke Kuala Lumpur di luar kelompok 10 teratas.

Delbove berasal daripada Perancis masih mampu menyambar gelaran tersebut apabila mengumpul masa keseluruhan terendah 27 jam 17 minit 38 saat (s).

Paling menakjubkan, kemenangannya itu hanya dibezakan tiga saat dengan pemenang tempat kedua, Anders Halland Johannessen dari pasukan Uno-X Mobility, sekali gus menjadi perbezaan masa paling rendah dalam sejarah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram