[VIDEO] Muntah-muntah sebelum beraksi, pelumba Terengganu tersingkir LTdL akui ada jurang kualiti


  • Podium
  • Khamis, 03 Okt 2024

Harrif berkata. dia sudah berkayuh sehabis baik pada peringkat keempat, namun belum pulih sepenuhnya daripada pendakian mencabar 'Queen Stage' yang melelahkan. — Instagram/Harrif

KURANG pendedahan perlumbaan di saingan tertinggi menjadi jurang perbezaan antara pelumba Asia dengan luar negara, demikian rumusan yang disimpulkan oleh pelumba negara, Harrif Salleh.

Harrif yang mewakili Terengganu Cyclinbg Team (TSG) tersingkir daripada baki perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 selepas tidak melepasi had masa perlumbaan (OTL) di peringkat keempat dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong pada Rabu.

Kegagalan Harrif atau pelumba yang dikenali sebagai Mamat tidak melepasi OTL merupakan kali pertama berlaku kepadanya sepanjang menyertai kejohanan LTdL sebanyak 15 kali dalam kariernya.

BACA LAGI: [VIDEO] Malang berganda, Mohd Elmi patah jari, didenda RM978.50 di LTdL 2024

BACA LAGI: [VIDEO] Lajunya peserta LTdL, sampai berkelip lampu AES

Menerusi satu catatan di Instagram peribadinya, pelumba berusia 36 tahun itu mengakui sedih apabila disahkan tersingkir daripada baki perlumbaan LTdL 2024 dan menceritakan situasi yang berlaku kepadanya.

"Sedih memang sedih tetapi nak buat macam mana, tak ada rezeki... saya memang sudah bersungguh-sungguh. Mengejar masa dari had masa OTL memang kali pertama juga buat saya di LTdL yang sudah saya sertai sebanyak 15 kali.

"Peringkat 4 dari Kuala Kubu ke Bentong, dari awal perlumbaan, ia memang laju di awal kaki bukit di KOM1 di Bukit Fraser (GAP). Namun pada waktu itu, dalam kumpulan saya ada juga tercicir di belakang pelumba yang kira-kira 10 orang.

"Kita berusaha untuk mengejar kelompok tengah tetapi apakan daya, mereka sangat laju, pelumba pecut Asia seperti saya, memang saya akui tahap kita sangat jauh dan kita kekurangan pendedahan seperti perlumbaan di peringkat tinggi sebegini.

"Di Peringkat 3 (Taiping ke Cameron Highlands), kita sudah mendaki bukit, saya akui proses pemulihan (recovery), tidak sempat, kaki masih 'kembang-kembang' (keletihan) untuk menuju ke Peringkat 4," kata Mamat dalam satu hantaran di Instagram.

WhatsApp Image 2024-10-03 at 14.37.47

Harrif tersingkir daripada baki saingan LTdL 2024. — Instagram/Harrif

Dalam catatan berkenaan juga, Harrif berkongsi detik hitam sebelum perlumbaan apabila mengalami mual yang tidak selesa namun masih menggagahkan untuk meneruskan misinya.

Videonya yang bergelut dengan masalah kesihatan itu juga dikongsi pada hantarannya dengan ramai peminat sukan basikal tanah air memuji semangat juang pelumba tanah air tersebut.

"Sebelum perlumbaan memang saya mengalami muntah-muntah dan pening-pening sedikit. Itulah coretan saya di perlumbaan LTdL 2024. Ramai yang masih menungu saya di garisan penamat. InshaALLAH kita berjumpa lagi," tutupnya.

Selain Harrif, senarai 19 pelumba tersingkir itu turut membabitkan juara bertahan LTdL Simon Carr dari EF Education-Easypost serta empat pelumba negara iaitu Muhammad Fahmi Khairul dan Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil (Malaysia Pro Cycling), Zulhelmi Zainal (Nusantara) serta Abdul Azim Aliyas (skuad kebangsaan).

Untuk rekod, Harrif pernah meraih tiga kemenangan peringkat perlumbaan LTdL masing-masing satu pada edisi 2019 dan dua pada 2020.

Peringkat kelima pada Khamis pula bermula di Kuala Lumpur dan berakhir di Melaka sejauh 167.3km, menawarkan tiga zon pendakian di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mantin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram