Jordan Mintah, Ramadhan antara nama baru ganti hilangnya 7 pemain warisan


  • Podium
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Harimau Malaya akan menentang Laos pada 9 Oktober. — Facebook/MalaysiaNT

KEHILANGAN tujuh pemain warisan dalam senarai terbaru skuad Harimau Malaya tidak merencatkan perancangan ketua jurulatih, Peter Cklamovski yang segera membawa masuk beberapa muka baharu termasuk penyerang berpengalaman Liga Malaysia (Liga M). 

Pemain yang sedang menunjukkan prestasi konsisten pada saingan Liga M musim ini iaitu Jordan Mintah dan pemain sayap muda berbakat, Muhammad Ramadhan Saifullah dan Declan Lambert menjadi taruhan. 

Selain itu, dua pemain dari skuad Bawah 23 (B-23) iaitu  Aliff Izwan Yuslan dan Muhammad Ubaidullah Shamsul turut mendapat peluang ke skuad utama sebagai persediaan menentang Laos pada 9 Oktober.  

BACA LAGI: Garces ikut jejak langkah Holgado terbang ke Malaysia, mahu buktikan asal usul datuknya

BACA LAGI: Rodrigo Holgado terbang ke Malaysia, mahu selesaikan isu digantung FIFA

Berdasarkan senarai diberikan, 10 pemain berdarah warisan menjadi pilihan Cklamovski selain lima tonggak bertaraf naturalisasi termasuk Endrick dos Santos, Sergio Aguero, Paulo Josue dan Romel Morales. 

Antara bintang utama yang masih dikekalkan pada kem Harimau Malaya pada kem skuad kebangsaan kali ini adalah Ahmad Syihan Hazmi, Dion Cools, Faisal Halim, Arif Aiman dan Harith Haiqal.

Sebelum ini, kem skuad kebangsaan menerima tamparan hebat selepas dibelenggu isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan baharu sehingga menerima hukuman berat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada minggu lalu. 

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang digantung 12 bulan oleh FIFA.

Skuad negara kini dalam misi wajib menang pada dua aksi kelayakan Kumpulan F menentang Laos di Vientiane pada Khamis depan disusuli perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram