JPJ perlu bantu remaja luar bandar ambil lesen memandu demi kelayakan BUDI95 — NGO Kedah


  • Massa
  • Ahad, 05 Okt 2025

JPJ dicadang mengadakan program khas buat golongan remaja di luar bandar.

PERSATUAN Anak Muda Madani Kedah menggesa kerajaan untuk membantu golongan muda, terutamanya yang berada di luar bandar untuk memperoleh lesen memandu bagi membolehkan mereka layak menerima manfaat dari inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95).

Pengerusinya, Datuk Zuraidi Rahim berkata, kebanyakan remaja di luar bandar belum memiliki lesen memandu atas pelbagai faktor meskipun ramai daripadanya sudah boleh memiliki kemahiran asas untuk menunggang motosikal.

"Kita tidak boleh menyekat golongan muda untuk menunggang motosikal tanpa lesen dalam kawasan perkampungan. Tetapi, disebabkan hal itu, mereka tidak layak merasai manfaat dari program BUDI95.

BACA LAGI: BUDI95 tunjuk kesan positif, tiada lagi 'lesen terbang', kelibat pelajar 'hantu' isi minyak

BACA LAGI: BUDI95: Had kelayakan tambahan untuk pemandu e-hailing dimuktamad minggu ini

"Jadi, saya ingin mencadangkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengambil pendekatan mudah dengan menawarkan peluang buat golongan itu mendapatkan lesen," katanya.

Inisiatif BUDI95 hanya boleh dimanfaatkan warganegara yang memegang lesen memandu sah.

Jelasnya, pendekatan itu bukan sahaja mampu membantu golongan luar bandar memiliki lesen memandu sah, malah membolehkan mereka menerima manfaat BUDI95.

"Kita boleh mengadakan program khas bersama JPJ dengan mengumpulkan golongan muda tidak berlesen dan membenarkan masing-masing menjalani kursus praktikal pada waktu pagi sebelum menduduki peperiksaan khas pada petang," katanya.

Selain itu, Zuraidi mencadangkan agar kerajaan menyalurkan dana khas kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PTA) seluruh negara untuk membolehkan mereka mengadakan program dan akiviti sesuai untuk pelajar sekolah.

Ini kerana ketika ini, kebanyakan persatuan hanya bergantung kepada sumbangan individu atau mana-mana organisasi yang kadang-kala sukar untuk diperolehi.

"Bagaimanapun, pelbagai syarat masih perlu ditetapkan. Kaedah teratur perlu diambil dalam menyalurkan dana kepada PTA dengan mereka perlu menyediakan kertas kerja berhubung aktiviti atau program bakal diadakan," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram