‘Terbukti sudah, Kelantan TRW kini tutup mulut golongan glory hunter’


  • Podium
  • Sabtu, 04 Okt 2025

Skuad Kijang Emas kini sudah berada dalam prestasi terbaik berbanding musim-musim lalu. — Facebook/The Real Warriors

"SUDAHLAH itu, sampai bilakah pengurusan mahu mempermainkan jiwa peminat bola sepak di Kelantan? Bertahun-tahun ditipu dengan masalah di dalam dan luar padang."

Itulah antara luahan kekecewaan dicurahkan di media sosial, terutamanya dalam ruangan komen Kelantan The Real Warriors (TRW) sususlan kekalahan 0-4 di tangan Kuching City FC pada perlawanan pertama Liga Super musim ini.

Persembahan mengecewakan ditampilkan anak-anak buah E Elavarasan di Stadium Negeri Sarawak menceritakan masalah berterusan dialami skuad Kijang Emas sejak bertahun-tahun lamanya.

BACA LAGI: Kelantan TRW, 'coach' Ela perlu magis jika mahu lepasi cabaran Warga Kota di Cheras

BACA LAGI: Terlalu harapkan Ifedayo boleh bawa risiko buat Kelantan TRW

Permulaan mengecewakan dialami skuad Kijang Emas dalam aksi pembukaan kepada Kuching City FC. Facebook/Kuching City FC

Ini menjadikan sebahagian besar penyokong tidak lagi tertarik untuk mengikuti perkembangan kelab itu kerana enggan harapan menggunung akhirnya lebur begitu sahaja.

Tetapi, sejak itu, kelab Pantai Timur tampil menjawab setiap pertikaian dilontarkan terhadap pasukan dengan prestasi lebih baik dalam Liga Super dan Piala FA.

Satu-satunya kekalahan dialami selepas persembahan mengecewakan di bumi Sarawak berkenaan adalah ketika berkunjung ke Stadium Selayang, Selangor pada 20 September lalu untuk berdepan PDRM FC.

Bagaimanapun, keputusan 1-3 dialami itu tidak menceritakan kerana Kelantan TRW tidak diberi sebarang peluang beraksi di laman sendiri sejak pertengahan Ogos.

Skuad Kijang Emas memastikan kemaraan ke suku akhir Piala FA buat pertama kali. Facebook/The Real Warriors

Kekalahan kepada skuad Sang Saka Biru tersebut juga tidaklah meranapkan usaha pasukan untuk memperbaiki kedudukan dalam carta kerana selepas enam perlawanan, anak-anak buah Elavarasan menduduki tangga keenam.

Lapan mata direkodkan adalah jauh lebih baik berbanding naib juara musim lalu, Selangor FC serta pasukan berbelanja besar seperti Sabah FC dan Penang FC.

Saingan Piala FA turut menceritakan keazaman besar Kelantan TRW ketika ini selepas mencipta kejutan dengan menyingkirkan pasukan pilihan iaitu Kuala Lumpur (KL) City FC.

Kemenangan meyakinkan 3-1 dalam aksi pertama di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan membuka laluan cerah dengan Ifedayo Olusegun dan Sean Selavaraj merupakan wira di hadapan penyokong sendiri.

Penyokong bola sepak Kelantan kembali yakin dengan projek kelab itu musim ini. Facebook/The Real Warriors

Dalam aksi timbal balik pula, skuad Kijang Emas memilih untuk mengambil pendekatan bertahan dengan disiplin anak-anak buah Elavarasan memastikan mereka mara dengan agregat 3-2.

Tipis, tetapi itu sudah cukup bagi membolehkan kelab itu mara ke suku akhir Piala FA buat pertama kali sejak menyertai pada 2017 sebagai Kelantan United FC.

Malah, melihat kepada hasil undian sebelum ini, skuad Kijang Emas boleh melangkah lebih jauh kerana mereka akan berdepan Sabah FC yang bermasalah dalam pertembungan suku akhir.

Kejayaan berbuat demikian sudah tentu amat menggembirakan peminat bola sepak di Kelantan yang sudah bertahun-tahun lamanya mengalami penderitaan akibat sikap culas pengurusan.

Lebih baik lagi, kebangkitan Kelantan TRW musim ini boleh mengunci mulut mereka yang pada awalnya sangsi akan usaha pihak pengurusan dalam menghidupkan arena bola sepak di negeri itu. — Majoriti

Wan Adam merupakan peminat tegar bola sepak Liga Malaysia.

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram