
KEMENANGAN 3-1 direkodkan Kelantan The Real Warriors (TRW) ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC dalam pertembungan pertama Piala FA 2025 jelas memberi harapan buat pasukan Pantai Timur itu.
Ini kerana keputusan itu menyuntik keyakinan buat skuad Kijang Emas yang tidak mengalami sebarang kekalahan dalam perlawanan seterusnya, termasuk ketika menerima cabaran hebat Sabah FC di tempat lawan.
Malah, kemenangan direkodkan itu memberi keyakinan buat mereka melangkah ke suku akhir Piala FA buat kali pertama selepas kemaraan edisi lalu menyaksikan pasukan tersebut kerap tersekat di pusingan 16 pasukan.
BACA LAGI: Bangkitlah Sang Penyu, jangan biarkan derita tersingkir awal Piala FA 2016 berulang
Kemenangan diraih Kelantan TRW ke atas KL City FC memberi kelebihan buat mereka bagi aksi timbal balik.
Jadi, kelebihan dimiliki ketika ini perlu dimanfaatkan penuh oleh anak-anak buah E Elavarasan sekiranya mahu merealisasikan harapan peminat bola sepak di negeri terbabit.
Tetapi, perlawanan timbal balik di Stadium Cheras, KL yang berlangsung pada Ahad akan menjadi satu ujian besar buat Kelantan TRW dengan ia cukup berbeza berbanding aksi pertama tempoh hari.
Dalam empat aksi Liga Super berlangsung di venue terbabit, skuad Warga Kota masih belum mengalami sebarang kekalahan, termasuk dalam aksi baru-baru ini berdepan PDRM FC.
Prestasi itu menyaksikan kelab Lembah Klang berkenaan mudah menduduki tangga kedua selepas empat perlawanan dengan tiga mata membezakan mereka berbanding Terengganu FC.
Skuad Kijang Emas hanya mencatatkan satu kemenangan di laman sendiri setakat ini. — Facebook/The Real Warrior
Rekod tersebut sahaja sudah menceritakan KL City FC memiliki kelebihan tersendiri berbanding skuad Kijang Emas memandangkan mereka hanya memerlukan tiga gol untuk mengembalikan kelebihan.
Catatan gol setiap pemain Warga Kota semasa beraksi di laman sendiri juga cukup baik dengan nama-nama besar seperti Safawi Rasid dan Paulo Josue sudah menemui sentuhan jaringan.
Ini merupakan satu lagi ancaman terhadap benteng pertahanan pasukan Pantai Timur itu kerana mereka perlu mengekang pihak lawan yang seperti mempunyai topik tambahan setiap kali beraksi di laman sendiri.
Skuad Warga Kota beraksi dengan cemerlang di laman sendiri. — Facebook/Kuala Lumpur City
Di samping itu, Kelantan TRW berada dalam prestasi kurang memberangsangkan setiap kali beraksi di tempat lawan dengan satu-satunya kemenangan diraih adalah semasa berdepan pasukan tercorot, Penang FC.
Malah, dalam perlawanan itu, kelab Pantai Timur tersebut hanya dapat menjaringkan satu gol walaupun skuad Harimau Kumbang tersebut memiliki rekod pertahanan terburuk setakat ini.
Ini menjadi satu kegusaran buat Elavarasan yang perlu memilih sama ada mahu menerapkan strategi pertahanan dalam permainan atau melancarkan serangan demi menggandakan keselesaan.
Sekiranya pengendali berusia itu dapat membuat perancangan terbaik, dia sudah tentu dapat membawa kemeriahan buat peminat bola sepak di Kelantan yang sudah lama merindui kelibat pasukan dari negeri itu di suku akhir Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram