
PENYERANG warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado nampaknya akan mengalami masalah yang lebih besar apabila kelabnya iaitu America de Cali dilaporkan tidak akan memberikan gaji dan faedah sepanjang 12 bulan.
Tindakan yang dilakukan pasukan berpangkalan di Colombia berkenaan adalah disebabkan Holgado kini berdepan penggantungan selama setahun daripada aktiviti bola sepak oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
"Holgado tidak akan menerima gaji dan faedah sepanjang 12 bulan digantung FIFA. America de Cali juga tidak dapat bayar khidmat Holgado untuk aktiviti di luar padang," lapor media Colombia, Americaenlared.
BACA LAGI: Dicadang beraksi di Asia, 3 kelab terbaik jamin karier Holgado demi Harimau Malaya
BACA LAGI: Obregon dalam radar kelab Colombia, ada potensi berdepan Holgado jika dilepaskan JDT
Tindakan yang berbentuk seperti hukuman berkenaan jelas akan memberi kesan kepada kehidupan pemain kelahiran Argentina itu, lagi-lagi tempoh 12 bulan adalah waktu yang lama.
Dengan Holgado dikatakan sudah berada di Malaysia, pastinya pemain kelahiran Argentina berkenaan sedang menyelesaikan perkara tersebut agar boleh kembali bermain untuk America de Cali.
"Rodrigo Holgado kini berada di Malaysia bersama wakilnya. Pemain America de Cali itu berangkat selepas dikenakan sekatan FIFA terhadap pasukan kebangsaan dan enam pemain lain.
"Penyerang itu berharap situasi tersebut dapat diselesaikan dengan mengambil kira tempoh 10 hari untuk melakukan rayuan," lapor Malayan Football baru-baru ini.
Untuk info, Holgado yang sudah menyarung jersi America de Cali sejak musim 2024 sudah menjaringkan 18 gol dan lima bantuan jaringan dalam 77 perlawanan dia diberi kepercayaan.
Holgado sebelum ini antara tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung FIFA serta didenda CHF2,000 (RM10560.75) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung isu pemalsuan dokumen.
FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain terbabit didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram