
EPISOD kekecewaan berulang dalam Derbi Borneo menjadi pembakar semangat buat Kuching City menjelang pertemuan getir menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.
Sejak 2022, pertemuan antara kedua-dua pasukan lebih banyak berpihak kepada Sabah dengan rekod lalu menyaksikan skuad The Rhinos menumbangkan Kuching City sebanyak tujuh kali berturut-turut.
Ia termasuk dalam saingan Piala Malaysia 2022 (agregat 2-1), Liga Super 2023 (menang 2-1 di Kuching dan 4-3 di Kota Kinabalu), Piala Malaysia 2023 (agregat 4-1), Liga Super 2024 (menang 2-1 di kedua-dua venue) serta Piala Malaysia 2024 (agregat 1-0).
BACA LAGI: ‘Malapetaka menanti Sabah FC jika masih kekal dengan strategi lapuk berdepan Kuching City’
BACA LAGI: Penang FC bukan ukuran, tekanan fans Jang Hobin ujian sebenar Luqman Hakim
Kekalahan demi kekalahan itu menjadikan Kuching City seolah-olah sekadar pelengkap jadual setiap kali Derbi Borneo berlangsung, sementara The Rhinos kekal sebagai Raja Bola Sepak Borneo.
Namun, senario musim ini seolah-olah memberi sinar baharu buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak apabila pasukan berkenaan menunjukkan aksi konsisten dan memukau hampir dalam setiap perlawanan.
Dalam lima perlawanan awal musim 2025/2026, Kuching City tampil dengan prestasi meyakinkan apabila mencatat tiga kemenangan, satu seri dan hanya satu kekalahan setakat ini.
Sebaliknya, keadaan di kem The Rhinos agak bergelora berikutan Sabah FC di bawah kendalian jurulatih baharu, Jean-Paul de Marigny masih gagal meraih kemenangan pertama musim ini apabila hanya sekadar mencatat tiga seri dan dua kekalahan.
Tekanan kian memuncak, lebih-lebih lagi dengan desakan penyokong yang mahu melihat perubahan segera sebelum Sabah menjadi pasukan tercorot pada hujung saingan Liga Super nanti.
Sekiranya tewas di tangan Kuching City, ia dijangka mampu menjadi titik noktah buat Jean-Paul yang baru dua bulan mengemudi pasukan tetapi kini sudah berdepan risiko digugurkan.
Oleh itu, pertembungan di Stadium Likas pada Sabtu nanti bukan sekadar soal tiga mata, tetapi juga soal maruah dalam Derbi Borneo dan jangka hayat terakhir buat Jean-Paul sebagai jurulatih The Rhinos.
Ketua jurulatih, Jean-Paul de Marigny. — Facebook/SabahFC
Bagi Kuching City, kemenangan akan mencatat sejarah sebagai kemenangan pertama dalam Derbi Borneo, sekali gus membuktikan bahawa mereka bukan lagi pasukan kerdil di pentas bola sepak tanah air.
Manakala bagi Sabah, kekalahan bakal mengundang krisis keyakinan lebih parah dan mungkin memaksa pengurusan membuat keputusan drastik terhadap barisan kejurulatihan.
Suasana pastinya hangat di Kota Kinabalu dengan ribuan penyokong The Rhinos dijangka memenuhi Stadium Likas, manakala pengikut Kuching City sudah bersedia untuk menyaksikan The Cats turun dengan semangat dendam tujuh kekalahan lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram