
BELUM pun mencecah seminggu selepas inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) diperkenalkan, tanda-tanda keberkesanan sudah dapat dilihat di lapangan.
Pelaksanaan ini bukan sekadar melibatkan soal pengisian minyak semata-mata, malah memberi kesan langsung kepada aspek sosial, ekonomi dan penguatkuasaan.
Walaupun ada suara-suara yang menyuarakan kebimbangan berhubung kelancaran sistem ini, hakikatnya penambahbaikan awal yang ditunjukkan membuktikan langkah kerajaan berada di landasan betul.
Langkah baharu itu juga menekankan prinsip bahawa subsidi petrol hanya wajar dinikmati oleh rakyat Malaysia, sekali gus mengurangkan ketirisan besar yang selama ini menguntungkan pihak tidak bertanggungjawab.
BACA LAGI: 'IC merah tak dibenarkan isi RON95', pelaksanaan BUDI95 bukti hanya warganegara layak harga petrol bersubsidi
BACA LAGI: Kelayakan BUDI95 dah boleh disemak, ada 4 sebab anda mungkin 'terlepas' harga subsidi RM1.99
Berikut adalah antara kesan positif yang mula kelihatan:
1. ‘Kantoi’ lesen terbang, ruang penipuan semakin sempit
Sebelum ini ada pihak yang mengambil peluang menjual LMM palsu kepada individu yang menggunakan lesen terbang atau identiti palsu sebagai jalan pintas memandu dan menunggang motosikal secara 'haram' di jalan raya. — Gambar Hiasan
Melalui pelaksanaan BUDI95, hanya pemilik Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang sah sahaja layak menikmati petrol bersubsidi.
Mereka yang masih menggunakan maklumat tidak dikemas kini termasuk pemegang kad pengenalan lama, nombor sijil kelahiran, serta nombor pengenalan diri tentera dan polis tidak dapat mengisi minyak subsidi sehingga proses pengesahan selesai.
Keadaan ini secara tidak langsung membongkar golongan yang selama ini menggunakan lesen terbang atau identiti palsu sebagai jalan pintas memandu dan menunggang motosikal secara 'haram' di jalan raya.
Sebelum ini, penggunaan lesen palsu menjadi modus operandi mudah segelintir individu untuk mengelak kawalan penguatkuasaan.
Namun, selepas pelaksanaan BUDI95, taktik tersebut semakin sukar dilakukan kerana sistem pengesahan lebih ketat.
2. Remaja tanpa lesen isi minyak berkurang
Pelaksanaan BUDI95 dilihat dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti remaja yang masih berdegil menggunakan kenderaan tanpa lesen. — Gambar Hiasan
Satu kesan ketara ialah fenomena remaja sekolah menunggang motosikal tanpa lesen sah yang mengisi minyak secara terbuka mula berkurangan.
Tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan pengguna jalan raya lain.
Dengan mekanisme baharu, remaja bawah umur lebih sukar mendapatkan akses mudah kepada petrol bersubsidi. Hal ini memberi impak positif dari sudut keselamatan jalan raya dan disiplin sosial.
Pelaksanaan BUDI95 juga dilihat dapat membantu pihak berkuasa mengenal pasti remaja yang masih berdegil menggunakan kenderaan tanpa lesen. Jika sebelum ini mereka mudah ‘bersembunyi’ dengan alasan mengisi minyak, kini ruang itu semakin tertutup.
Selain mengurangkan risiko kemalangan, langkah ini secara tidak langsung mendidik ibu bapa untuk lebih bertanggungjawab memantau anak-anak mereka. Malah, ia juga memberi mesej tegas bahawa kerajaan serius dalam membanteras budaya menunggang tanpa lesen yang sudah lama menjadi isu di negara ini.
3. Subsidi lebih tepat, warga asing tidak lagi ambil kesempatan
Hanya pemilik LMM dan Mykad yang sah sahaja layak menikmati dan mengisi BUDI95. — Gambar Hiasan
Sebelum ini, isu warga asing menikmati harga petrol subsidi menjadi rungutan rakyat. Situasi berkenaan bukan sahaja membebankan perbelanjaan negara, malah menimbulkan ketidakadilan apabila subsidi yang sepatutnya untuk rakyat tempatan dinikmati oleh orang luar.
Kini, dengan BUDI95, subsidi hanya untuk warganegara Malaysia. Perubahan ini mengembalikan keyakinan bahawa setiap ringgit subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran, khususnya golongan B40 dan M40.
Lebih penting, mereka yang berstatus Pemastautin Tetap (IC Merah) atau pemegang dokumen sementara tidak lagi boleh menumpang nikmat subsidi rakyat Malaysia. Selama ini, kumpulan itu antara yang dikesan mengambil kesempatan menikmati harga petrol murah, sekali gus menambah beban kepada kerajaan.
Dengan mekanisme baharu ini, pintu penyelewengan semakin tertutup rapat dan subsidi benar-benar kembali ke tangan rakyat asal Malaysia yang layak.
4. Sindiket minyak subsidi mula terkesan
Kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter. — Gambar Hiasan
Paling penting, pelaksanaan BUDI95 turut memberi kesan besar kepada sindiket minyak subsidi.
Selama ini, ada pihak yang mengambil kesempatan membeli minyak bersubsidi dalam jumlah besar sebelum dijual semula untuk tujuan komersial.
Kini, ruang manipulasi semakin sempit kerana kawalan lebih rapi menghalang pembelian berlebihan. Dalam jangka masa panjang, tindakan ini mampu mengurangkan kerugian negara akibat kebocoran subsidi yang mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun.
Untuk makluman, kira-kira 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif layak menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI95. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram