Sebak lihat anak sulung cari makanan sendiri, ibu akui cabaran beri perhatian sama rata, pakar kongsi tip atasi rasa tersisih


  • Bonda
  • Rabu, 01 Okt 2025

Kehadiran cahaya mata kedua sering jadi detik indah, namun anak sulung perlu terus diberi perhatian agar tidak berasa tersisih. — Gambar hiasan/Janaan AI

KEHADIRAN cahaya mata kedua sering menjadi detik indah dalam sesebuah keluarga, namun pada masa yang sama ia boleh menjadi cabaran emosi kepada anak sulung.

Perhatian yang sebelum ini tertumpu sepenuhnya kepada mereka kini perlu dikongsi dengan adik baharu.

Baru-baru ini, sebuah video tular di TikTok mengundang sebak ramai warga maya.

BACA LAGI: Katil berasingan boleh meretakkan rumah tangga, 5 sebab suami isteri wajib tidur bersama

BACA LAGI: [VIDEO] Pikul tanggungjawab jaga ibu bapa uzur dan anak-anak, Marlina dan suami jalani realiti hidup generasi sandwic

Rakaman itu memaparkan seorang anak sulung berusia sekitar dua tahun mencari sendiri biskut kegemarannya dalam plastik, sementara ibunya mendukung bayi yang baru lahir.

"Tiada siapa beri amaran lepas ada anak kedua, anak pertama akan kurang perhatian. Lebih-lebih lagi apabila sedang berpantang.

"Masa ni Akid nak makan nasi, tapi baby tengah menangis. Mama cakap nanti kita makan tapi Akid tiba-tiba kata nak biskut. Dia korek plastic makanan sebab nak cari biskut kegemaran dia tapi tak ada," cerita @rinaarafi mengakui sebak mengenang detik itu.

Situasi berkenaan boleh menimbulkan rasa cemburu, tersisih dan keresahan pada anak pertama jika tidak ditangani dengan bijak, sekali gus memberi kesan kepada perkembangan emosi serta hubungan adik-beradik.

Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd Saad, kehadiran adik baharu boleh menimbulkan pelbagai reaksi emosi dalam diri anak sulung.

Profesor Madya Dr. Fauziah Mohd Saad (kiri) dan Dr. Rahima Dahlan @Mohd Shafie menekankan pentingnya strategi konsisten agar anak sulung tetap merasa disayangi. — Media sosial

Antara yang sering dialami ialah rasa cemburu, keresahan, keliru dan ada kalanya marah atau memberontak.

"Ada anak yang mula menunjukkan tingkah laku regresif seperti mahu disuap semula, menangis lebih kerap atau terlupa cara ke tandas. Itu isyarat mereka rasa kurang diberi perhatian," jelasnya.

Pandangan berkenaan turut dikongsi oleh Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Dr. Rahima Dahlan @Mohd Shafie yang menyifatkan emosi anak sulung biasanya bercampur-baur.

Mereka mungkin bangga bergelar abang atau kakak, namun tidak kurang juga yang tiba-tiba menjauhkan diri daripada bayi atau mengadu sakit ketika ibu bapa sibuk.

"Itu tanda jelas mereka berasa tersisih dan perlukan lebih sokongan emosi," katanya yang bertugas di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Kedua-dua pakar menekankan kepentingan strategi harian yang konsisten bagi memastikan anak sulung tetap merasa disayangi walaupun perhatian ibu bapa terbahagi.

Dr. Fauziah menegaskan untuk meluangkan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 minit masa one-on-one setiap hari hanya bersama anak sulung tanpa gangguan bayi.

Selain itu, penggunaan bahasa inklusif juga penting, contohnya ucapan, 'Mama sayang kamu berdua sebab kamu berdua sangat istimewa.

Libatkan anak sulung dalam penjagaan adik untuk pupuk rasa dihargai dan eratkan kasih sayang adik-beradik. — Gambar hiasan/Janaan AI

Dr. Rahima pula menambah, ia bukan soal berapa lama masa yang diluangkan, tetapi konsistensi yang memainkan peranan.

"Kekalkan rutin lama seboleh mungkin seperti membaca doa tidur atau bermain permainan kegemaran bersama. Anak sulung perlu rasa kehidupannya masih stabil meskipun keluarga menerima ahli baharu," katanya.

Antara langkah lain yang disarankan termasuk melibatkan anak sulung dalam penjagaan bayi.

Tugasan mudah seperti mengambil lampin, membantu memilih pakaian atau menepuk adik tidur boleh menimbulkan rasa bangga.

Memberi gelaran khas seperti 'abang penjaga susu' atau 'kakak penyayang juga dapat menguatkan ikatan kasih sayang antara adik-beradik.

Hakikatnya, kehadiran adik baharu bukan sahaja menguji emosi anak sulung, malah boleh menjadi peluang membina empati, tanggungjawab dan kasih sayang sejak kecil.

Dengan bimbingan ibu bapa yang peka, anak pertama akan berasa lebih dihargai dan tidak tersisih, sekali gus membentuk hubungan adik-beradik yang lebih harmoni. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram