
RASA sedih dan terluka menyelubungi seorang wanita, Nur Ain Amir apabila mengetahui suaminya akan ke Terengganu selama lima hari dan memilih untuk berangkat menaiki satu kereta bersama seorang rakan sekerja wanita.
Perasaan itu membuatkan Nur Ain meluahkan kekeliruan dan kebimbangan di laman sosial Threads.
"Saya tengah mengandung dan suami akan outstation dengan kawan ofis perempuan dekat Terengganu selama lima hari. Naik kereta berdua. Salah ke saya rasa sedih terluka walaupun belum berlaku apa-apa?" soalnya.
Hantaran tersebut mencetuskan pelbagai reaksi daripada warga maya yang bersimpati dan ada yang menegur dengan tegas.
Seorang lelaki yang bergelar bapa, Amrul Azmi Mizan menasihati Nur Ain supaya mempertimbangkan untuk mengikuti suaminya.
“Sebagai seorang lelaki, suami dan ayah, saya cadangkan awak ikut suami awak. Kalau perlu mohon cuti, cutilah. Jangan benarkan syaitan buat kerja," katanya.
Hawa pula menegur keputusan suami Ain yang disifatkan tidak masuk akal dan seolah-olah mengabaikan perasaan isteri.
“Suami awak pun, kenapa nak bagi kawan ofis perempuan naik sama? Jangan tipu dengan cakap nak jimat. Urusan kerjakan boleh claim," katanya.
Pakar perubatan terkenal, Redza Zainol turut menyatakan rasa peliknya terhadap situasi itu.
“Seriously, tak normal naik berdua," katanya.
Seorang wanita, Beatrice berkongsi pengalamannya sendiri yang memilih memandu sendirian 12 jam demi mengelakkan salah faham dan situasi yang boleh menimbulkan fitnah sebegitu.
“Saya memilih untuk memandu seorang diri dari Samarahan ke Miri selama 12 jam di jalan raya kerana saya tidak mahu berkongsi kereta dengan rakan sekerja lelaki. Wahai wanita, hidup kita sudah cukup mencabar; jangan kita tambah lagi masalah dengan terlibat dengan suami orang lain," katanya.
Seorang pengguna lain, Ardy pula memetik kata-kata Ustaz Azhar Idrus (UAI) mengenai batas interaksi lelaki dan perempuan bukan mahram.
“Tak boleh naik kereta sekali. Kerja atau bukan kerja tidak boleh. Lelaki dan perempuan ini dia macam magnet. Kalau duduk dekat adalah syaitan jadi yang ketiga," kata UAI.
Hidayah Rosedi pula mengingatkan bahawa perbuatan kecil yang nampak remeh seperti berbual lama dalam kereta berdua boleh menjadi langkah pertama syaitan.
“Sebenarnya ramai orang tak sedar ni, ini lah ikhtilat. Kenapa ALLAH suruh jaga ikhtilat? Sebab syaitan ini dekat mana-mana sahaja. Dalam kereta berdua macam ni, macam-macam boleh berlaku.
"Okey, betul takkan tiba-tiba dorang nak pegang tangan kan. Tapi apa langkah pertama syaitan nak buat? Cucuk jarum halus-halus, berdua berjam dalam kereta, macam-macam cerita boleh keluar.
"Contohnya sesi luahan hati, kondem orang lain, mula la masing-masing akan peka atas satu sama lain. Curang tu tak bermula dengan terus," katanya.
Surianisams menegaskan bahawa suami harus sedar diri dan menjaga batas dengan serius.
“Redflag nya lelaki awak tuu. Lelaki kena sedar diri, bila sudah kahwin kena tahu batas. Lelaki itu suami awak, jadi sepatutnya dia yang elak benda itu daripada berlaku.
"Apa pun lelaki yang kena main peranan. Kalau lelaki tak mula, tiadanya perempuan nak hegeh-hegeh. Tolong kalau sudah tahu ada isteri, jangan gedik-gedik nak buka pintu tu," katanya.
Noor Hamidah Ramli pula mencadangkan agar Nur Ain ikut serta dalam perjalanan untuk mengelakkan salah faham dan menegaskan pentingnya menjaga maruah dalam hubungan suami isteri.
“Tolong ikut sekali. Tak, yang staf perempuan itu pun dah kenapa nak naik satu kereta dengan suami orang? Gatal ke apa. Sekarang ni rakan sekerja pun boleh jadi rakan serumah ya kalau sudah selalu ke hulu ke hilir bersama.
"Kalau sama-sama bujang tiada isu lah. Ini sorang lelaki orang, sorang itu tak tahulah apa status. Tak fahamlah kenapa yang perempuan itu tak boleh pikir jaga maruah, nak naik kereta bukan muhrim berduaan," katanya.
Harith Yusri memberi pesanan agar para suami di luar sana lebih berpemikiran waras dan menitikberatkan untuk menjaga hati isteri, terutama ketika isteri sedang hamil.
“Tak salah risau. Sebagai suami, dia tak patut pun buat macam itu. Dia sepatutnya fikirkan isteri dia, lagi-lagi tengah mengandung. Tak pandai jaga hati isteri langsung," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram