Wayne Rooney label Man United kini 'hilang jiwa'


  • Podium
  • Selasa, 30 Sep 2025

Manchester United terus mengalami prestasi terumbang-ambing dalam saingan EPL musim ini. — Agensi

SEJAK dilantik sebagai pengendali Manchester United pada November tahun lalu, Ruben Amorim gagal membawa sebarang perubahan buat gergasi bola sepak England itu.

Dalam saingan Liga Perdana Inggeris, jurulatih dari Portugal itu hanya merekodkan 27 peratus kemenangan daripada 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan rekod tersebut amat merisaukan.

Isu tersebut semakin dapat dilihat musim ini selepas skuad The Red Devils berada di tangga ke-14 setelah enam kali beraksi dengan hanya tujuh mata dikutip.

BACA LAGI: '100 peratus mahu pulang', Rooney percaya Rashford teringin kembali beraksi bersama The Red Devils

BACA LAGI: 'Jika dia tiada, saya mati', legenda Man United singkap kisah isteri jadi penyelamat

Amorim gagal membawa sebarang perubahan positif dalam Manchester United. Agensi

Situasi itu diburukkan lagi apabila memikirkan Manchester United tidak beraksi di pentas Eropah selain tersingkir awal dari saingan Piala Liga di tangan Grimsby Town.

Kemelut menghadapi kelab tersebut menerima perhatian legenda pasukan, Wayne Rooney yang mengakui keadaan dihadapi skuad The Red Devils sangat tidak meyakinkan.

"Tiada apa-apa dalam Manchester United yang memberi kesungguhan terhadap saya, mereka perlukan perubahan besar jika anda tanya saya sama ada pemain mahupun pengurusan. Apa sahaja demi mendapatkan Manchester United kembali.

"Pemilik kelab perlu memberikan mesej yang jelas, tidak kisah daripada Keluarga Glazers mahupun Sir Jim Ratcliffe sebagai pemegang saham minoriti, kita perlu mendapatkan hala tuju sebenar pasukan," katanya.

Masalah melanda Manchester United bukanlah perkara baharu kerana sejak pemergian Sir Alex Ferguson, kelab tersebut tidak lagi digeruni seperti mana pernah disaksikan sekitar awal 2000-an.

Rooney sebagai legenda kelab amat gusar melihatkan masalah dialami pasukan itu. Agensi

Perubahan pengurusan terlalu kerap menyaksikan The Red Devils bergelut di atas padang meskipun pelaburan besar dibuat setiap kali jendela perpindahan dibuka.

Kehadiran Amorim yang sebelum ini bersama Sporting CP juga gagal membawa perubahan meskipun satu ketika dahulu, dia pernah diangkat sebagai antara jurulatih muda paling berpotensi.

"Saya sememangnya mengharapkan dia mampu membawa perubahan, tetapi jika anda tanya saya secara lebih mendalam selepas melihat apa yang dipertontonkan, sejujurnya saya tidak yakin.

"Jiwa dalam kelab ini sudah hilang, ia memerlukan sentuhan nafas baharu. Perubahan besar diperlukan untuk mengembalikan zaman kegemilangan Manchester United," katanya.

Rooney kerap menyuarakan rasa kurang senang berhubung Manchester United memandangkan statusnya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman meletakkannya sebaris dengan legenda pasukan.

Sepanjang 13 musim menyarung jersi The Red Devils, penyerang antarabangsa England itu merekodkan 253 gol daripada 559 penampilan secara keseluruhan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram