BARU-BARU ini, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita kurang gembira selepas penyokong Harimau Malaya yang digelar Ultras Malaya membuat keputusan untuk memboikot aksi Malaysia dalam saingan Pestabola Merdeka 2024 edisi ke-43.
Gerakan ultras itu melancarkan kempen curva off dengan kesemua gerakan ultras di peringkat negeri yang bernaung bersama UM seperti Ultras Panthers (Penang FC), Kuala Lumpur Ultras (Kuala Lumpur City FC) dan North Borneo Ultras (Sabah FC) tidak akan turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Keputusan boikot itu nyata mencuri perhatian pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli yang tidak bersetuju dengan tindakan ultras tersebut.
BACA LAGI: Aksi ranking FIFA, FAM harap Ultras fikir semula boikot Pestabola Merdeka 2024
Ultras Malaya disaran memikirkan semula sebelum tutup 'curva'. — Agensi
"Jika ultras boikot Pestabola Merdeka ini secara suka-suka tanpa sebab bagi saya adalah memang tidak wajar. Biasanya dalam setiap tindakan untuk 'memboikot' atau 'memulaukan' itu mesti mempunyai motif tertentu untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati agar ia dapat memberi kesedaran kepada pihak yang berkenaan.
"Justeru di Pestabola Merdeka edisi ke-43 September nanti ada empat kumpulan ultras dari Negeri Sembilan, Pahang, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang bercadang memboikot daripada memberi sokongan kepada Harimau Malaya sebagai tanda protes terhadap kepincangan yang berlaku dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya kepada Majoriti.
Pekan turut beranggapan bahawa ultras merupakan nadi kepada pasukan Harimau Malaya.
"Pada pandangan saya, ultras adalah nadi sokongan pasukan Harimau Malaya. Kita tak boleh nafikan peranan mereka selama ini. Jangan masih ada rasa ego dan beranggapan ultras boikot pun tak apa ramai lagi penyokong lain yang akan datang.
"Ingat, bola sepak ini tiada erti tanpa penonton dan penyokong. Mereka sudah menyedari banyak kepincangan dan kecelaruan telah berlaku dalam FAM termasuk apabila Kim Pan-gon menamatkan kontrak secara mengejut dan pulang ke Korea.
"Mereka menuntut segala kerosakan yang sedang berlaku sekarang perlu diperbaiki segera. Ini tuntutan ultras dan FAM perlu ambil perhatian serius," katanya.
Ultras merancang untuk memboikot Pestabola Merdeka. — Agensi
Begitupun, Pekan beranggapan bahawa Ultras Malaya masih mempunyai sifat sayang akan pasukan tanah air dan hanya mahu badan induk itu melakukan beberapa perubahan demi kemajuan industri bola sepak tempatan.
"Secara tidak langsung ini menunjukkan kumpulan ultras ini masih sayangkan bola sepak kita. Jangan sampai satu hari nanti mereka berarak ke ibu pejabat FAM dan mendesak semua pengurusan tertinggi FAM meletak jawatan.
"Jadi, sementara ada jalan untuk berunding, eloklah berunding secara baik. Berikan jaminan kepada ultras agar usaha positif ke arah melakukan koreksi secara keseluruhan akan dilakukan seberapa segera.
"Kalau perlu mengadakan sesi dialog bersama wakil ultras itu satu usaha yang sangat positif," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram