'Jika dia tiada, saya mati', legenda Man United singkap kisah isteri jadi penyelamat


  • Podium
  • Khamis, 25 Sep 2025

Rooney kerap memanfaatkan cuti untuk minum tanpa henti sebelum kembali berlatih. — Agensi 

LEGENDA bola sepak England dan Manchester United, Wayne Rooney mengakui isterinya iaitu Coleen memainkan peranan besar dalam menyelamatkan hidupnya ketika dia bergelut dengan ketagihan alkohol pada kemuncak kariernya.

Rooney yang mula mencuri tumpuan ketika beraksi bersama Everton pada usia 16 tahun sebelum menjadi ikon Man United dan pasukan kebangsaan England, mendedahkan bahawa tanpa sokongan Coleen, dia mungkin sudah tersasar jau daripada landasan hidupnya.

Pasangan berkenaan yang mula berkenalan sejak di bangku sekolah dan berkahwin pada 2008, menjadi tonggak kekuatan penyerang tersebut ketika berdepan episod sukar dalam hidupnya. 

BACA LAGI: Akhirnya ada mahukan Onana, moga Man United tak menyesal seperti zaman de Gea

BACA LAGI: Penyokong Man United boleh lupakan EPL, Liverpool dan Arsenal paling cerah bergelar juara

"Saya benar-benar percaya jika dia (Coleen) tiada, saya mungkin sudah mati," katanya dalam podcast Rio Ferdinand Presents.

Bekas penyerang itu bercerita bagaimana dia kerap keluar berseronok bersama rakan-rakan sehingga terjebak dalam tabiat minum dua hari berturut-turut, namun masih mampu turun ke padang dan menjaringkan gol. 

Menggambarkan dirinya sebagai binge drinker, Rooney menegaskan dia bukan seorang alkoholik, tetapi kerap memanfaatkan cuti untuk minum tanpa henti sebelum kembali berlatih dengan hanya bergantung pada titis mata, gula-gula getah dan pencuci mulut untuk menutup kesan mabuk.

Rooney yang kini sudah berusia 39 tahun tersebut mengakui pada waktu itu dia tidak tahu kepada siapa harus berpaling dan memilih untuk memendam perasaan. 

Rooney yang menamatkan karier kelabnya dengan 313 gol kelab dalam 763 perlawanan untuk Everton, United, DC United dan Derby.

Namun, campur tangan Coleen menjadi titik perubahan, apabila wanita itu membantu mengawal dan mengurus dirinya sehingga berjaya mengekang ketagihan yang boleh merosakkan hidupnya itu. 

"Saya tidak mahu membebankan orang lain. Dia (Coleen) banyak membantu saya mengawal keadaan berkenaan. Dia mengurus saya kerana saya memang memerlukan pengurusan," ujarnya. 

Kini, Rooney yang bersara pada 2021 dan kini aktif menjadi pundit bola sepak di England menegaskan betapa pentingnya memiliki seseorang yang rapat untuk berkongsi masalah. 

"Saya telah melakukan kesilapan pada masa lalu yang diketahui ramai, tetapi dia sentiasa memastikan saya kekal di landasan betul selama lebih 20 tahun.

"Saya juga belajar untuk bercakap dengan orang lain. Ia membantu kerana anda dapat meluahkan perasaan," tambahnya. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram