
TONGGAK Harimau Malaya, Dion Cools mencatat sejarah tersendiri apabila meledak gol pertama bersama Cerezo Osaka dalam saingan J League 1 menentang Kyoto Sanga pada Ahad.
Pertahanan kelahiran Sarawak itu sekali lagi menjadi pilihan dalam kesebelasan utama pasukan bimbingan Arthur Papas di Stadium Yodoko Sakura, Jepun.
Namun, tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan pembukaan pelawat pada minit ke-44 menerusi Temma Matsuda hasil situasi sepakan penjuru Taiki Hirato.
BACA LAGI: FAM akui wujud kesilapan teknikal staf pentabiran, tapi sahkan 7 pemain digantung rakyat Malaysia
BACA LAGI: Skandal pemain warisan: SPRM tegaskan kesilapan teknikal, bukan kes rasuah
Bersambung babak kedua, Cerezo meningkatkan tekanan dengan beberapa siri serangan berbahaya.
Usaha itu akhirnya berhasil apabila Dion Cools melakukan sentuhan ‘backheel’ menarik pada minit ke-57 untuk menewaskan penjaga gol lawan, Gakuji Ota, sekali gus menyamakan kedudukan.
Gol tersebut bukan sahaja menjadi penyelamat sementara buat Cerezo, malah mencatat sejarah apabila Cools muncul sebagai pemain Malaysia pertama menjaringkan gol dalam liga bola sepak tertinggi di Jepun.
Bagaimanapun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Shun Nagasawa meledak gol kemenangan buat Kyoto Sanga pada minit ke-87, sekali gus menyaksikan Cerezo tunduk 1-2 di hadapan penyokong sendiri.
Dengan keputusan tersebut, Cerezo Osaka kekal di tangga ke-10 liga dengan kutipan 43 mata selepas 32 perlawanan, dan bakal berdepan cabaran Nagoya Grampus pada 4 Oktober nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram