
PELAJAR Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri yang menjadi mangsa gurauan melampau yang menyerupai perbuatan buli seperti yang tular dalam rakaman video baru-baru ini memilih untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang, menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, Polis Sarawak telah membuka kertas siasatan berhubung insiden tersebut dan memanggil semua pihak terbabit termasuk ibu bapa serta rakan-rakan mangsa untuk menjalani siasatan.
Namun, bapa pelajar berkenaan turut menyatakan pendirian untuk tidak meneruskan tindakan perundangan terhadap insiden itu.
BACA LAGI: Tak selamat diduduki, Klinik Kesihatan Kuala Tahan ditutup
"Kami menerima laporan polis mengenai kes berkenaan dengan mangsa sendiri tampil membuat laporan dan kita juga sudah memanggil semua pihak yang terbabit, termasuk ibu bapa dan kawan-kawannya untuk siasatan," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada Khamis.
Mancha berkata, polis turut menghantar mangsa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan hasilnya mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal pada pelajar terbabit.
"Berdasarkan siasatan awal, kejadian ini lebih kepada gurauan yang keterlaluan dan mangsa serta bapanya menyatakan tidak mahu meneruskan tindakan undang-undang," katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, polis akan membuka kertas siasatan jika ada laporan rasmi atau terdapat unsur jenayah dalam insiden itu yang tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 13 saat itu memaparkan sekumpulan pelatih lelaki mengangkat seorang rakan mereka dalam keadaan kaki terkangkang dan menghentaknya ke tiang, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai kemungkinan ia kes buli. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram