Tak logik tuduh Indonesia, Vietnam dalang gagalkan revolusi Harimau Malaya


  • Podium
  • Jumaat, 26 Sep 2025

Sejak revolusi Harimau Malaya dibina, skuad kebangsaan semakin menunjukkan peningkatan positif di peringkat antarabangsa. — Facebook/MalaysiaNT

TIADA angin tiada ribut, kecoh suasana bola sepak tanah air selepas wujud khabar angin beberapa entiti luar negara mahu melakukan sabotaj terhadap revolusi Harimau Malaya yang sedang berjalan. 

Desas-desus yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong itu bermula selepas pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam berkongsi mengenainya di laman X pada Khamis. 

Semakin merisaukan apabila pihak-pihak yang cuba melakukan perbuatan khianat terhadap projek Harimau Malaya berkenaan tampak mempunyai hubungan akrab dengan pucuk pimpinan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). 

BACA LAGI: [VIDEO] Rindu jumpa Malaysia, pertukaran jurulatih dan muka baharu tarik minat Erick Thohir

BACA LAGI: Harimau Malaya sandar aura penyokong di Kuantan

"Terdapat khabar angin yang mengatakan beberapa entiti luar negara sedang berusaha untuk sabotaj pasukan kebangsaan kerana bimbang dengan kebangkitan Harimau Malaya. Entiti-entiti tersebut kelihatan rapat dengan pucuk kepimpinan tertinggi FIFA," katanya. 

Belum ada maklumat rasmi mengenai dakwaan berkenaan, namun penyokong tanah air sudah mula memetik beberapa individu dan persatuan bola sepak luar negara sebagai entiti yang mahu melakukan sabotaj terhadap skuad kebangsaan. 

Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) antara yang dipetik susulan susulan persaingan sengit antara Malaysia dan Vietnam dalam kejohanan serantau seperti Piala AFF dan kelayakan Piala Dunia 2026. 

VFF ketika ini juga sedang menumpukan perhatian kepada pembangunan skuad kebangsaan mereka sendiri, termasuk meningkatkan prestasi pasukan selepas beberapa keputusan kurang memberangsangkan di peringkat kelayakan. 

Fokus mereka untuk memperbaiki pasukan bola sepak sendiri sekali gus, menjadikan dakwaan sabotaj terhadap Malaysia tidak logik dari segi motivasi mahupun kepentingan strategik.

Antara nama paling hangat dipetik ialah Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir susulan beliau sering mengadakan pertemuan dengan Presiden FIFA, Giovanni Vincenzo Infantino.

Presiden PSSI, Erick dan Presiden FIFA, Giovanni. — Agensi

Selain kerjasama dijalankan dalam konteks bola sepak, Giovanni juga baru-baru ini melabel Erick sebagai kawan baiknya dengan beliau memuji konglomerat itu sebagai seorang yang cekap. 

Bagaimanapun, tidak wajar untuk menuduh PSSI sebagai pihak yang tidak bertanggungjawab mahu menjatuhkan Harimau Malaya berikutan tiada sebab jelas negara jiran kita mahu melakukan sabotaj.

Seperti pandangan dikeluarkan laman penyokong, Palatao Bola yang melihat Indonesia kini sedang sibuk melakukan persiapan untuk layak ke Piala Dunia di bawah kendalian Patrick Kluivert.

Indonesia sedang fokus untuk melayakkan pasukan ke Piala Dunia 2026. — Agensi

"Tuduh Indonesia tidak logik kerana fokus pusingan empat Piala Dunia lawan Arab Saudi dan Iraq pada 8 serta 11 Oktober nanti," kata laman berkenaan. 

Erick dan PSSI sendiri sedang memberi tumpuan besar kepada reformasi bola sepak Indonesia, termasuk memperbaiki liga, infrastruktur, dan keselamatan stadium pasca tragedi Kanjuruhan.

Dengan agenda padat berkenaan, PSSI tidak mempunyai keperluan atau masa untuk mengatur sabotaj terhadap pasukan luar lagi-lagi Malaysia yang jelas mempunyai hubungan baik sebagai negara jiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram