‘Kuching City buktikan frasa Kota Rom tak dibina dalam sehari bukan sekadar kata-kata’


  • Podium
  • Jumaat, 26 Sep 2025

Kuching City kini dilihat berada di landasan tepat untuk menjadi antara kuasa besar baharu bola sepak Malaysia. 

KEHEBATAN Kota Rom sering diungkap melalui pepatah terkenal, 'Kota Rom tidak dibina dalam sehari," yang melambangkan betapa besar pengorbanan dan usaha yang diperlukan untuk mencapai kegemilangan. 

Kejayaan empayar berkenaan tercapai melalui perit jerih, perjuangan panjang rakyat dan pertumpahan darah demi menguasai tampuk pemerintahan terpaksa dikorbankan untuk membina Kota Rom. 

Frasa berkenaan membuktikan bahawa kejayaan bukan sesuatu yang datang dengan mudah atau sekadar menunggu, ia menuntut kerja keras, ketekunan dan keberanian untuk meraih impian berkenaan. 

BACA LAGI: 'Luar berhantu, dalam kondominium', penyokong gesa kerajaan Sarawak naik taraf stadium seiring kebangkitan Kuching City

BACA LAGI: Sejarah tundukkan 'skuad adik' boleh jadi modal Kuching City kejutkan JDT

Seperti dalam bola sepak, kecemerlangan konsisten sesebuah kelab mengambil masa bertahun-tahun. Lihat sahaja juara 11 kali berturut-turut Liga Super iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) yang membina empayar mereka sejak 2013. 

Skuad Harimau Selatan yang dinaungi Tunku Ismail Sultan Ibrahim jelas menjadi contoh terbaik untuk membina kelab bola sepak di Malaysia, tetapi tidak dinafikan ada satu kelab Liga Malaysia (Liga M) turut sedang membina kelab mereka ke landasan tepat. 

Kelab dimaksudkan ialah Kuching City FC apabila pasukan berpangkalan di Sarawak berkenaan kini antara pasukan yang memberi saingan sengit dalam Liga Super dan kejohanan Piala FA. 

Dinaikkan pangkat ke Liga Super pada musim 2023, skuad The Cats bergelut untuk mendapatkan tiga mata sebelum akhirnya sedikit 'bernyawa' apabila menggunakan khidmat Aidil Sharin Sahak pada Ogos tahun berkenaan.

Dalam masa singkat bersama The Cats, pengendali kelahiran Singapura berkenaan sekurang-kurangnya memberi kenangan manis dengan menjadi naib juara saingan Piala Cabaran 2023 usai tewas kepada PDRM FC.

Tidak mahu lagi menghuni kedudukan ke-13 liga seperti musim 2023, Aidil Sharin membuat rombakan pemain dengan membawa tonggak berkualiti seperti James Okwuosa, Moses Atede, Nando Welter, Tchetche Kipre, Shamie Iszuan dan Hazwan Bakri. 

Perpindahan itu sudah menceritakan gaya mahu diterapkan pengendali tersebut kerana dia cukup berminat dengan pemain yang mempunyai minit permainan dan pengalaman dalam saingan Liga Super.

Selain membawa masuk tonggak berkualiti secara tetap, Aidil Sharin juga memanfaatkan peluang meminjam pemain dari kelab lain pada musim berkenaan seperti bintang JDT, Daniel Amier dan Ramadhan Saifullah. 

Kemasukan pemain-pemain berkenaan dengan sentuhan Aidil Sharin menyaksikan skuad The Cats berhasil menghuni kedudukan keempat liga dengan mendapat 10 kemenangan, sembilan seri dan lima kekalahan. 

Di bawah kendalian Aidil Sharin, Kuching City FC menamatkan saingan Liga Super musim 2024/2025 di kedudukan keempat dengan mengumpul 39 mata, hanya satu mata di belakang Sabah FC yang menduduki tempat ketiga.

Pencapaian itu juga menyaksikan Aidil Sharin mencipta sejarah tersendiri apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Jurulatih Terbaik pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2024-2025. 

Musim ini, Kuching City menunjukkan lagi penguasaan mereka dalam saingan Liga Super apabila setakat ini menghuni kedudukan keempat liga dengan menewaskan pasukan gergasi seperti Selangor FC.

Pencapaian berkenaan menjadi bukti nyata bahawa kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya memerlukan visi, kerja keras dan kesabaran, sama seperti membina Kota Rom.

Kuching City kini dilihat berada di landasan tepat untuk menjadi antara kuasa besar baharu bola sepak Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram